
BUKIT MERTAJAM – Seramai 51,628 orang di seluruh negara disantuni menerusi Program MADANI Kita (PMK) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dalam usaha mendekatkan pelbagai perkhidmatan dan inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
Selain memudahkan rakyat mendapatkan maklumat serta bantuan kerajaan, program itu turut menjadi platform komunikasi dua hala bagi membolehkan pandangan, persoalan dan keperluan masyarakat disalurkan kepada agensi berkaitan untuk perhatian serta tindakan susulan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JKOM, Kafrawi Ridzuan Tarmizi berkata, pelaksanaan PMK di pelbagai lokasi seluruh negara membolehkan pihaknya mendekati masyarakat secara langsung bagi memahami cabaran dan keperluan mereka.
“Sehingga kini, seramai 51,628 orang telah disantuni menerusi pelaksanaan PMK di pelbagai lokasi.
“Dari utara hingga ke selatan Semenanjung serta merentasi Laut China Selatan ke Sabah, warga JKOM terus menyusuri lapangan untuk mendengar sendiri pengalaman masyarakat, memahami cabaran setempat dan menghubungkan mereka dengan perkhidmatan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MADANI Kita 2026 Bersama-sama Komuniti Bukit Tengah @ Batu Kawan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Bin, di sini hari ini.
Menurut Kafrawi, pencapaian itu bukan sekadar mencerminkan jumlah masyarakat yang disantuni, malah memperlihatkan usaha berterusan JKOM membantu rakyat memahami dasar kerajaan, mendapatkan akses kepada perkhidmatan serta mengemukakan isu yang memerlukan perhatian.
Katanya, sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, JKOM turut bertanggungjawab memperkukuh kefahaman dan kepercayaan masyarakat melalui pendekatan komunikasi dua hala yang lebih terbuka dan berkesan.
“Setiap pandangan yang dikongsikan, persoalan yang dibangkitkan dan keperluan yang disuarakan menjadi input penting untuk disalurkan kepada pihak berkaitan bagi perhatian serta tindakan susulan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan turun padang menerusi PMK juga memberi peluang kepada masyarakat berinteraksi secara langsung dengan wakil agensi kerajaan, mendapatkan penjelasan mengenai dasar dan bantuan serta memanfaatkan kemudahan yang disediakan.
Sehubungan itu, katanya, penganjuran PMK di Bukit Tengah kali ini menghimpunkan 42 kementerian, jabatan dan agensi bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan serta memudahkan urusan masyarakat setempat.
Kafrawi berkata, JKOM akan terus menambah baik pendekatan dan mutu penyampaian bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan memberikan manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam meningkatkan pengetahuan, memudahkan akses perkhidmatan dan menangani isu setempat.
“Kami mahu setiap pertemuan seperti ini membuahkan hasil yang dirasai masyarakat, sama ada melalui pertambahan pengetahuan, kemudahan mengakses perkhidmatan mahupun perhatian terhadap isu setempat,” katanya.


