
DAP menyifatkan tindakan UMNO sejak kebelakangan ini sebagai punca ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan, sekali gus mempersoalkan komitmen parti itu terhadap kestabilan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ramkarpal Singh berkata, tindakan UMNO menjalin hubungan politik dengan PAS, mengkritik Perdana Menteri secara terbuka serta mendesak pembubaran Parlimen menunjukkan parti itu tidak menghormati semangat perjanjian kerjasama Kerajaan Perpaduan.
“Merujuk Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan bertarikh 16 Disember 2022 yang menetapkan perbezaan pandangan antara parti komponen perlu diselesaikan menerusi dialog dan rundingan, bukannya tekanan terbuka atau desakan peletakan jawatan.
“Bagaimanapun, tujuan utama perjanjian itu adalah untuk memastikan pembentukan sebuah kerajaan yang stabil, selain membawa pembaharuan, perpaduan sosial dan keterangkuman.
“Justeru, UMNO diminta menilai semula hubungan terhadap kesinambungan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung gesaan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkaitan kedudukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut menggariskan tiga tindakan UMNO yang menurutnya boleh menjejaskan kestabilan kerajaan.
“Pertama, hubungan dan penjajaran politik berterusan antara UMNO/BN dengan PAS, walaupun UMNO merupakan rakan teras dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).
“Kerjasama dengan pembangkang ketika pada masa sama berada dalam pentadbiran menimbulkan persoalan serius mengenai keikhlasan dan komitmen UMNO terhadap mandat bersama gabungan itu,” katanya.
Beliau turut mendakwa kritikan terbuka berterusan oleh pemimpin UMNO terhadap Perdana Menteri hanya melemahkan kewibawaan Anwar serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, Ramkarpal berkata, desakan pemimpin UMNO supaya Parlimen dibubarkan ketika parti itu masih bersama-sama mentadbir negara turut memperlihatkan sikap tidak menghormati komitmen kestabilan yang dijanjikan kepada rakyat.
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan dibentuk bagi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar dan pemulihan ekonomi dapat diteruskan, bukannya mewujudkan ketidaktentuan politik demi kepentingan sempit parti.
“Jika terdapat dakwaan mengenai pelanggaran kepercayaan atau pencabulan syarat kerjasama politik dan perjanjian berkenaan, rekod menunjukkan tindakan UMNO, bukannya DAP, yang telah merenggangkan kesepakatan serta menguji batas perjanjian itu,” katanya.
Bagaimanapun, Ramkarpal menegaskan DAP kekal sebagai rakan kerajaan yang boleh diharapkan dan berdisiplin, selain komited mematuhi perjanjian berkenaan serta menyokong agenda reformasi dan ekonomi Perdana Menteri.


