
PUTRAJAYA – Malaysia yakin hubungan dua hala dengan Indonesia akan terus kukuh dan berada pada landasan positif meskipun negara jiran itu berdepan pelbagai perkembangan serta dinamika politik semasa.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perubahan landskap politik di Indonesia tidak seharusnya menjejaskan hubungan erat yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
Menurutnya, keyakinan itu berasaskan hubungan diplomatik yang baik, termasuk beberapa siri pertemuan dan lawatan rasmi pada peringkat tertinggi antara Malaysia dan Indonesia.
“Saya baru pulang dari Jakarta beberapa minggu lalu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, antara lain.
“Kita percaya hubungan baik antara kedua-dua negara akan terus utuh dan kekal tanpa mengira sebarang perkembangan atau dinamika politik yang berlaku,” katanya pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, hubungan berkenaan akan terus diperkukuh menerusi penglibatan pemimpin kedua-dua negara dalam perbincangan dan pertemuan rasmi.

