BANDA HILIR – Selepas 14 hari parti-parti politik dan calon berusaha meraih sokongan, tiba giliran 675,166 pengundi pada Sabtu menentukan wakil rakyat bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 menjadi medan penilaian rakyat terhadap prestasi pentadbiran, tawaran parti dan kemampuan calon melaksanakan tanggungjawab setelah pelbagai janji serta agenda diketengahkan sepanjang tempoh berkempen.
Dari pentas ceramah hingga ke pertemuan secara bersemuka, pelbagai strategi digerakkan oleh parti politik bagi meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah pilihan terbaik untuk membawa suara dan aspirasi penduduk negeri bersejarah ini.
Pada Sabtu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom menyasarkan peratusan keluar mengundi sekitar 70 peratus pada PRN kali ini dengan keputusan penuh dijangka diketahui sebelum 12 tengah malam.
SPR sebelum ini mewartakan 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran dibuka di seluruh negeri dari 8 pagi hingga 6 petang bagi membolehkan pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Secara keseluruhan, sebanyak 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN Melaka kali ini termasuk 12,531 anggota tentera dan pasangan serta polis yang telah menunaikan tanggungjawab menerusi pengundian awal pada Selasa.
Pengundian awal itu, yang melibatkan 31 pusat mengundi, merekodkan 9,417 atau 94.96 peratus daripada 9,917 pemilih keluar mengundi secara fizikal pada hari berkenaan manakala 2,614 lagi mengundi secara pos.
Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon paling ramai, iaitu di 24 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 calon, Parti Bersama Malaysia (16), BERSATU (tujuh), Perikatan Nasional (lima), Parti Pribumi Perkasa Malaysia (satu) dan tiga calon Bebas.
PRN itu diadakan susulan pembubaran DUN Melaka ke-15 pada 23 Sept lepas setelah mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.
Pada PRN Melaka ke-15 yang berlangsung pada November 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN manakala PH (lima) dan PN (dua).
