
KOTA KINABALU – Kerajaan MADANI akan terus meningkatkan peruntukan bagi pelaksanaan Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah setiap tahun bagi memastikan rakyat dapat menikmati barangan keperluan pada harga berpatutan sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha kerajaan membantu rakyat, khususnya golongan B40, menghadapi tekanan ekonomi ketika ini.
“Kerajaan mahu memastikan rakyat dapat menikmati harga yang berpatutan menerusi pelbagai program jualan yang dilaksanakan di seluruh negara.
“Ini sebenarnya kita mahu supaya rakyat menikmati harga yang berpatutan, harga Rahmah, supaya mengurangkan bebanan tekanan ekonomi yang sedang berlaku di seluruh negara sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada penganjuran Jualan Agro MADANI (DUN Inanam) di Dewan Kampung Warisan, di sini, pada Sabtu.

Mustapha berkata, Jualan Agro MADANI merupakan inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan kementerian selain menawarkan produk berkaitan pertanian pada harga berpatutan.
Katanya, program berkenaan turut membuka ruang kepada petani dan penternak memasarkan hasil keluaran mereka secara lebih meluas menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta agensi berkaitan.
“Jadi tugas FAMA dan agensi berkaitan ialah untuk membawa produk-produk ini ke tengah masyarakat dan menjual. Jadi kita akan kurangkan orang tengah,” jelasnya.
Menurutnya, pengurangan penglibatan orang tengah membolehkan produk ditawarkan pada harga lebih murah sekali gus memberi manfaat kepada petani, penternak dan masyarakat secara keseluruhan.
Beliau berkata, Jualan Agro MADANI juga melengkapi pelaksanaan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan, dengan program di bawah KPKM memberi tumpuan khusus kepada produk berkaitan pertanian dan penternakan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, penganjuran program berkenaan di Parlimen Sepanggar telah dilaksanakan sebanyak tiga siri dengan sambutan yang semakin baik bagi setiap penganjuran.
“Yang pertama, yang kedua semakin baik dan ini yang paling besar, yang terbaik.
“Jadi maknanya, kita akan sentiasa memperbaiki dan memastikan bahawa semakin ramai masyarakat yang akan mendapat faedah daripada jualan Agro Madani ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap program berkenaan terus memberi manfaat kepada penduduk setempat menerusi penawaran produk pada harga berpatutan, selain menyediakan ruang kepada usahawan kecil dan pengusaha industri kecil mempromosikan produk masing-masing.
Penganjuran kali ini turut diserikan dengan pameran usahawan, aktiviti untuk kanak-kanak serta promosi buah-buahan tempatan bagi menggalakkan rakyat membeli hasil keluaran tempatan dan membantu petani yang mengusahakannya.
Mustapha berkata, usaha mempromosikan buah-buahan tempatan penting bagi memberi sokongan kepada pengusaha tempatan, selain memastikan hasil pertanian mereka mendapat pasaran dalam kalangan masyarakat.



