
Kota Kinabalu – Aktiviti kokurikulum perlu diberi perhatian sama penting dengan pencapaian akademik dalam usaha melahirkan generasi muda yang seimbang, berdisiplin, berkeyakinan serta mempunyai ciri kepimpinan.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pendidikan bukan sekadar berorientasikan kecemerlangan akademik, sebaliknya perlu merangkumi pembentukan sahsiah, jati diri dan pembangunan potensi pelajar.
“Penglibatan dalam aktiviti sukan, persatuan, kelab dan badan beruniform mampu membina keyakinan diri, mengasah bakat kepimpinan, memupuk disiplin serta memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
“Kita mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja bijak dalam pelajaran, tetapi juga mempunyai jati diri, berakhlak mulia, berani menghadapi cabaran dan mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Sabtu.
Menurut Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah, pembangunan potensi pelajar melalui kokurikulum menjadi persediaan penting untuk menghadapi realiti kehidupan, melanjutkan pengajian serta memasuki alam pekerjaan.

“Setiap kejayaan memerlukan usaha, pengorbanan, latihan, disiplin dan kesungguhan berterusan, justeru pelajar perlu menjadikan setiap peluang yang ada sebagai ruang untuk meningkatkan keupayaan diri.
“Sabah memerlukan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, berkeyakinan dan mempunyai semangat untuk menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
“Masa depan negeri dan negara turut bergantung kepada kualiti generasi muda yang dibentuk pada hari ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap pelajar SMK Mat Salleh terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang, berani mencuba perkara baharu serta menjadikan setiap cabaran dan kegagalan sebagai pengalaman untuk memperbaiki diri.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik, khususnya guru penasihat dan jurulatih kokurikulum, atas komitmen serta pengorbanan mereka dalam membimbing dan mengembangkan potensi pelajar.
“Tahniah juga saya ucapkan kepada semua penerima anugerah atas pencapaian dan sumbangan masing-masing dalam bidang kokurikulum.
“Jadikan kejayaan ini sebagai contoh kepada seluruh warga sekolah serta inspirasi untuk terus berusaha meningkatkan pencapaian dan mengembangkan potensi diri,” jelasnya.
Dalam majlis berkenaan, seramai 500 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, termasuk pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), menerima pengiktirafan atas pencapaian dan penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti kokurikulum merangkumi bidang sukan, persatuan, kelab dan badan beruniform.



