
DOHA – Peningkatan pelaburan asing yang menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi mampu menjadi pemangkin kepada usaha Malaysia mengubah fenomena penghijrahan bakat (brain drain) kepada kepulangan bakat (brain gain).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan politik, tadbir urus dan prospek ekonomi negara semakin membuka ruang kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk pulang menyumbang kepakaran serta pengalaman mereka.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, antara perkembangan positif ialah komitmen pelaburan Google bernilai RM60.9 bilion (AS$15 bilion) yang dijangka mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan baharu dengan kadar gaji 45 peratus lebih tinggi berbanding median nasional.
“Jadi ini pemangkin untuk membolehkan lebih ramai balik ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai usaha mengubah ‘brain drain’ kepada ‘brain gain’ pada sesi dialog bersama diaspora Malaysia di Doha, Qatar, pada Sabtu.
Menurut Fahmi, usaha menarik pulang bakat tempatan tidak boleh hanya bergantung kepada semangat patriotisme, sebaliknya perlu disokong peluang pekerjaan yang setimpal dengan pengalaman dan kepakaran profesional mereka.
Katanya, peluang pekerjaan berkualiti dengan tawaran pendapatan kompetitif penting bagi meyakinkan rakyat Malaysia yang telah lama berkhidmat di luar negara untuk kembali membina kerjaya dan menyumbang kepada pembangunan negara.

