KLEBANG – “Kalau dia tidak merompak, bukan UMNO”. Demikian dakwaan keras bekas Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abd Hamid, terhadap UMNO ketika membangkitkan isu pengurusan Tabung Haji dan dakwaan pengkhianatan amanah terhadap pendeposit.
Berucap pada ceramah kelompok di Pintu Air Klebang, Abdullah Sani berkata, tindakan mengkhianati amanah, merosakkan silaturahim serta perpaduan menjadi antara perkara yang menurutnya sinonim dengan parti berkenaan.
Beliau turut mengaitkan isu Tabung Haji dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang menurutnya mendedahkan persoalan serius berhubung pengurusan wang pendeposit, termasuk golongan miskin yang menyimpan wang demi menunaikan ibadah haji.
“Tabung Haji, duit orang nak pergi Mekah pun dia mentedarah. Itu orang miskin yang simpan duit nak pergi ke Mekah pun dia sapunya. Ini bukan saya cakap, itu RCI yang cakap,” katanya.
Bagaimanapun, Abdullah Sani mengakui bahawa individu yang dikaitkan dengan isu berkenaan belum boleh dianggap bersalah selagi belum diputuskan oleh mahkamah.
“Belum lagi hukuman itu dibuat di mahkamah. Tak bersalah lah,” katanya.
Pada masa sama, beliau mempersoalkan pengurusan aset Tabung Haji, termasuk bangunan yang disebutnya sebagai Raudah, selain membangkitkan dakwaan berkaitan nilai sewaan berjumlah RM1.08 bilion.
Menurutnya, persoalan mengenai pemilikan dan pengurusan aset berkenaan perlu diberi perhatian kerana ia membabitkan kepentingan institusi serta wang pendeposit.
“Padahal Tabung Haji yang punya. Dia punya apa nama bangunan sewaan RM1.08 bilion. Oh dahsyat. Dia pun sapu macam bapak dia punya duit,” katanya.
Abdullah Sani turut memberi amaran bahawa amalan yang dikritiknya itu berpotensi berulang sekiranya pihak berkenaan kembali memperoleh kuasa, malah mendakwa keadaan boleh membawa kepada jenayah yang lebih serius.
“Daripada apa yang berlaku ini, kalau dia ada kuasa, sudah barang tentu dia akan melakukan apa yang dipanggil jenayah yang paling menjijikkan,” katanya.
Kritikan itu memperlihatkan bagaimana isu Tabung Haji dijadikan Abdullah Sani sebagai asas mempersoalkan integriti UMNO, khususnya dalam soal amanah terhadap wang dan kepentingan rakyat.


