
KUCHING – Tindakan sekumpulan individu yang terlibat dalam insiden memukul seorang lelaki di Jalan Petanak di sini, membawa padah apabila tiga daripada mereka ditahan polis susulan penularan satu rakaman video di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan pihaknya menerima laporan polis pada Khamis berkaitan insiden keganasan yang berlaku pada 18 Oktober lalu.
Tegasnya, kejadian berkenaan tular menerusi satu klip rakaman video berdurasi 25 saat yang memaparkan mangsa diserang di kawasan tersebut.
“Susulan laporan yang diterima, pihak polis berjaya menangkap tiga individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan dan kes kini masih dalam siasatan lanjut pihak polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang serta mengelakkan sebarang perbuatan mendatangkan kecederaan kepada orang lain.



