
PUTATAN – Kejohanan Sukan antara jabatan dan agensi daerah Putatan akan dijadikan acara wajib tahunan bagi memperkukuh hubungan kerjasama serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam di daerah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, penganjuran kejohanan berkenaan akan diteruskan setiap tahun sebagai platform mengeratkan silaturahim dan membina semangat berpasukan antara jabatan serta agensi kerajaan.
“Kejohanan sempena Hari Sukan Negara 2026 itu bukan sahaja memberi peluang kepada penjawat awam menjalankan aktiviti fizikal, malah membantu menyegarkan kesihatan mental dan fizikal selepas melaksanakan tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Kejohanan itu menghimpunkan penyertaan 19 jabatan dan agensi dengan pelbagai acara dipertandingkan merangkumi sukan fizikal serta permainan tradisional,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan antara Jabatan dan Agensi Daerah Putatan Sempena Hari Sukan Negara, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, penganjuran kejohanan seumpama itu penting dalam membina sinergi serta jaringan kerjasama lebih erat antara penjawat awam daripada pelbagai jabatan.
“Hubungan yang kukuh antara agensi kerajaan mampu membantu meningkatkan koordinasi dan memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di daerah Putatan dilaksanakan dengan lebih lancar serta berkesan.
“Saya turut menekankan bahawa penyertaan dalam aktiviti sukan bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya memberi ruang kepada penjawat awam membina semangat kesukanan, perpaduan dan keharmonian,” ujarnya.
Tambah Shah Alfie, penglibatan permainan tradisional seperti congkak turut memberi peluang kepada peserta menghayati warisan budaya, selain menguji strategi dan kecekapan masing-masing.
“Tahniah kepada Pejabat Daerah Putatan selaku penganjur utama, Pejabat UPPM Tanjung Keramat, Pejabat Parlimen Putatan serta jabatan dan agensi yang menjayakan kejohanan berkenaan.
“Tahniah juga kepada semua 19 jabatan dan agensi yang mengambil bahagian serta menghargai komitmen jawatankuasa pengelola dan urus setia dalam memastikan kejohanan berlangsung dengan lancar dan selamat.
“Saya berharap kejohanan itu terus menjadi pemangkin kepada pembentukan warga kerja yang lebih sihat, aktif dan produktif, selain memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan demi kepentingan masyarakat Putatan,” jelasnya.
Terdahulu, antara acara yang dipertandingkan ialah futsal, bola tampar, badminton, pingpong, karom, congkak dan ‘pool’.
Sementara itu, Pasukan Sabah Electricity dinobatkan sebagai johan keseluruhan sekali gus membawa balik piala pusingan, manakala naib johan disandang pasukan Majlis Daerah Putatan dan ketiga, Polis Diraja Malaysia (PDRM).



