
KOTA KINABALU – Dakwaan Kerajaan MADANI membatalkan atau memotong peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak adalah tidak berasas serta perlu disokong dengan bukti yang jelas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir Ts Mustapha Sakmud berkata, penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang telah diluluskan.
“Faktanya, peruntukan asal JALB di peringkat nasional terus meningkat daripada RM2.11 bilion bagi tahun 2026 dan RM2.27 bilion bagi tahun 2027.
“Sebagaimana tercatat dalam rekod, sebelum pentadbiran Kerajaan MADANI, peruntukan JALB ini tidak pernah mencecah angka RM1 bilion.
“Peruntukan RM1.09 bilion hanya dimulakan pada tahun 2023. Ini bukti jelas komitmen pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Mustapha yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah berkata, Kementerian Kewangan turut meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta pada 2026 bagi membantu menangani tunggakan bayaran kontraktor JALB.
Katanya, langkah itu menunjukkan kerajaan tidak mengurangkan pembiayaan, sebaliknya menyediakan peruntukan tambahan bagi memastikan komitmen projek sedia ada dapat ditunaikan.
“Isu sebenar yang perlu diberikan perhatian ialah komitmen kontrak dan perbelanjaan yang melebihi peruntukan tahunan diluluskan sehingga menyebabkan tunggakan serta kelewatan bayaran kepada kontraktor.
“Justeru, arahan penangguhan SST baharu pada 10 September 2026 merupakan langkah kawalan kewangan bagi mengelakkan tunggakan terus meningkat, bukannya arahan pembatalan menyeluruh projek pembangunan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kerajaan turut meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan unjuran keperluan pembiayaan sehingga 2027 berdasarkan kontrak yang telah dianugerahkan.
“Langkah ini penting bagi memastikan projek sedia ada dapat diteruskan melalui pengurusan kewangan yang lebih teratur, telus dan bertanggungjawab,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak menjadi mangsa pemotongan atau pembatalan projek tidak wajar dibuat berdasarkan andaian semata-mata, sebaliknya perlu disertakan bukti seperti senarai projek, nilai peruntukan dan status pembatalan.
Justeru, katanya, komitmen Kerajaan MADANI terhadap Sabah dan Sarawak turut diterjemahkan melalui Belanjawan 2027 yang meningkatkan peruntukan Persekutuan kepada Sabah daripada RM17.6 bilion kepada RM18.7 bilion, manakala Sarawak daripada RM15.1 bilion kepada RM16.2 bilion.
“Selain itu, sebanyak RM3.3 bilion turut disediakan bagi projek jalan raya di kedua-dua negeri, termasuk kesinambungan pembangunan jaringan jalan strategik.
“Pembangunan Sabah dan Sarawak kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI, termasuk penambahbaikan jalan luar bandar dan merapatkan jurang pembangunan Wilayah tidak pernah dipinggirkan, ” tegasnya.


