Wan Rosdy Wan Ismail
KUALA LIPIS – Pengurusan ketirisan dan kebocoran hasil, penguatkuasaan tegas serta kecekapan pentadbiran menjadi tiga formula utama kejayaan kerajaan negeri Pahang mengekalkan kutipan hasil melepasi RM1 bilion selama lima tahun berturut-turut.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu bukan secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha bersepadu seluruh jentera pentadbiran negeri termasuk peranan aktif pegawai daerah dalam memastikan kutipan hasil termasuk bayaran pemegang tanah dan tunggakan dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Angka RM1 bilion ini sudah lima tahun Alhamdulillah. Antaranya ialah kita uruskan ketirisan, kebocoran dan dalam masa yang sama juga penguatkuasaan serta kecekapan pentadbiran dan pengurusan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Town Hall Rakyat Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, malam tadi.
Menurut Wan Rosdy, Pahang sebelum ini berdepan pelbagai aktiviti tidak sihat yang menyebabkan ketirisan hasil negeri, termasuk pencerobohan tanah haram, pembalakan haram dan kecurian pasir yang merugikan kerajaan negeri.
“Dari segi ketirisan dan kebocoran, kita tahu bahawa Pahang satu ketika dahulu banyak aktiviti tidak sihat ini. Ini sebenarnya merugikan kerajaan negeri. Malah, ada pihak-pihak tertentu tidak berpuas hati dengan penguatkuasaan.
“Namun, negeri Pahang ini negeri berdaulat, Raja berdaulat, mana mungkin tanah-tanah diceroboh, jadi kita telah ambil tindakan,” tegasnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memperketat penguatkuasaan bagi membendung sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan sumber hasil negeri serta melindungi khazanah alam Pahang.
Selain itu, katanya, penubuhan syarikat berkaitan kerajaan negeri turut membantu menjana pendapatan tambahan menerusi keuntungan yang disumbangkan semula kepada kerajaan negeri.
Wan Rosdy turut menekankan kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama erat seluruh pasukan pentadbiran negeri yang bekerja sebagai satu pasukan.
“Kita bukan sahaja pasukan yang kuat, malahan kita bekerja sebagai satu keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan hasil yang dikutip dipulangkan semula kepada rakyat menerusi pelaksanaan Inisiatif Makmur Pahang.
Menurutnya, peruntukan bagi inisiatif itu berjumlah RM50 juta pada tahun 2024 dan 2025 sebelum meningkat kepada RM80 juta pada 2026, manakala peruntukan bagi 2027 dijangka melebihi RM80 juta.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus memastikan hasil yang diperoleh dapat dimanfaatkan rakyat menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif yang disediakan,” katanya.



