
KUALA LUMPUR – Sektor perbankan digesa melihat ekonomi kreatif sebagai peluang pelaburan berpotensi tinggi, khususnya dalam bidang perfileman, animasi dan permainan dalam talian yang semakin berkembang seiring pertumbuhan ekonomi digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sektor berkenaan bukan sahaja menawarkan peluang menjana pendapatan, malah mampu mewujudkan pekerjaan, memindahkan kepakaran dan membawa masuk limpahan ekonomi kepada negara.
Menurutnya, Belanjawan 2027 memperuntukkan lebih RM139 juta bagi menyokong industri kreatif, termasuk filem, animasi dan permainan dalam talian (esport), sekali gus memberikan suntikan baharu kepada perkembangan sektor itu.
Beliau berkata, sokongan kerajaan bukan sekadar melalui peruntukan kewangan, tetapi turut merangkumi aspek dasar dan polisi, termasuk kelulusan Jemaah Menteri untuk menubuhkan Majlis Ekonomi Jingga khusus bagi sektor kreatif.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi kreatif menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menunjukkan ia satu bahagian besar daripada ekonomi negara.
“Ini antara sektor yang paling rancak perkembangannya dan paling mudah dieksport, termasuk filem, animasi serta permainan dalam talian dan e-sukan,” katanya dalam wawancara Bersama Agenda Awani dengan tajuk Belanjawan 2027: Rapatkan Jurang Digital, Pacu Ekonomi Kreatif.

Fahmi berkata, potensi industri animasi Malaysia semakin terserlah apabila syarikat tempatan bukan sahaja menghasilkan kandungan untuk pasaran domestik, malah turut menjadi pusat penghasilan animasi bagi syarikat dari negara lain.
Beliau berkata, kejayaan lima syarikat animasi Malaysia yang menyertai festival di Perancis dan membawa pulang potensi nilai perniagaan RM250 juta, hasil usaha sendiri dengan sedikit bantuan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), membuktikan keberkesanan sokongan kepada industri itu.
Katanya, insentif kerajaan, termasuk geran dan rebat penggambaran, juga mampu menghasilkan kesan berganda apabila syarikat produksi luar memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran.
“Apabila syarikat luar datang membuat penggambaran di Malaysia, mereka bukan sahaja membelanjakan wang untuk produksi, tetapi turut menggunakan perkhidmatan logistik, katering dan pelbagai perkhidmatan tempatan.
“Ini membawa limpahan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan membuka peluang pemindahan pengetahuan kepada tenaga kerja tempatan,” katanya.
Menurut Fahmi, perkembangan ekonomi digital turut memudahkan kandungan kreatif Malaysia menembusi pasaran antarabangsa tanpa semestinya memerlukan kos pengedaran yang tinggi seperti kaedah konvensional.

Beliau memberikan contoh drama tempatan Madu dan Racun yang mendapat perhatian penonton di Indonesia, sekali gus menunjukkan potensi kandungan Malaysia untuk meraih khalayak lebih luas menerusi platform penstriman dalam talian.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan turut menyediakan geran RM15 juta yang boleh dipohon pemain industri ekonomi kreatif, khususnya animasi, bagi membantu merealisasikan projek masing-masing.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa usaha memperkukuh industri itu perlu disokong sektor perbankan, terutama dalam memahami model perniagaan, pengurusan risiko dan nilai harta intelek sebagai aset.
“Seorang pembikin filem di Indonesia memberitahu saya bahawa isu industri kreatif bukan semata-mata soal kreativiti, tetapi juga faktor risiko ekonomi jika projek itu tidak dipromosikan dengan baik.
“Jadi, sektor perbankan perlu memahami bagaimana industri ini berfungsi dan melihat potensi yang ada,” katanya.
Fahmi berkata, harta intelek seperti watak animasi dan kandungan kreatif yang mempunyai nilai komersial jangka panjang boleh dipertimbangkan sebagai aset untuk membuka peluang pembiayaan, termasuk melalui mekanisme cagaran pinjaman yang bersesuaian.
Beliau mengambil contoh francais animasi Upin & Ipin yang telah bertahan lebih 20 tahun dan terus menjana pendapatan, sekali gus menunjukkan bahawa nilai sesuatu harta intelek boleh berkembang dalam tempoh yang panjang.
Menurutnya, pendekatan pembiayaan yang mengambil kira nilai harta intelek berpotensi membantu syarikat animasi dan penerbit kandungan mendapatkan modal bagi mengembangkan perniagaan.
Mengulas industri perfileman, Fahmi berkata, jumlah penonton pawagam selepas pandemik COVID-19 menunjukkan pemulihan yang memberangsangkan dan hampir melepasi tahap sebelum pandemik.
Katanya, pengalaman menonton filem di pawagam bukan sekadar untuk menikmati tayangan, malah menjadi sebahagian daripada aktiviti sosial dan rekreasi yang turut memberi manfaat kepada perniagaan lain seperti pusat beli-belah.
Beliau turut menegaskan kepentingan memahami perubahan corak penggunaan dalam kalangan generasi Z dan Alpha kerana keupayaan mendekati kumpulan penonton muda akan mempengaruhi perkembangan pelbagai sektor ekonomi.
Fahmi berkata, potensi ekonomi kreatif juga perlu dinilai berdasarkan saiz pasaran serantau, bukan hanya jumlah penduduk Malaysia yang sekitar 35 juta orang.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai kira-kira 1,600 skrin pawagam, manakala Indonesia yang mempunyai hampir 300 juta penduduk memiliki sekitar 2,600 skrin, sekali gus menunjukkan ruang pertumbuhan pasaran yang besar.
“Kalau kita melihat potensi Asia Tenggara yang mempunyai hampir 700 juta penduduk, sektor ekonomi kreatif mempunyai peluang yang sangat besar.
“Kalau saya seorang jurubank, saya akan mengkaji sektor ini dan melihat bagaimana kita boleh menjana pendapatan daripadanya,” katanya.



