
KUCHING – Seramai 361,000 pelajar mendapat manfaat menerusi pelbagai program praktikal anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dalam usaha memperkukuh penguasaan teknologi dan kemahiran generasi muda di negeri ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen TEGAS sejak ditubuhkan pada 2012 untuk membudayakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan digital.
Menurutnya, usaha itu turut memberikan penekanan kepada penyertaan belia luar bandar supaya mereka tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi dan ekonomi digital.
“TEGAS terus berusaha memastikan anak-anak Sarawak bersedia mendepani cabaran ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Apresiasi Media Bersama TEGAS 2026 di Hotel Riverside Majestic, pada Isnin.
Len Talif merangkap Pengerusi TEGAS juga berkata, usaha merapatkan jurang pendidikan teknologi antara kawasan bandar dan luar bandar turut dilaksanakan menerusi program Project of Dreams Realized (PRO-DR) yang merangkumi 14 lokasi.
Menurutnya, TEGAS juga menubuhkan Think and Tinker Mini Lab di 25 sekolah luar bandar bagi memperluas pendedahan pelajar kepada pembelajaran berasaskan teknologi.
Dalam pada itu, beliau berkata, TEGAS turut memainkan peranan sebagai platform pembangunan kerjaya dan latihan menerusi penganjuran Sarawak Career Training Fair (SCaTFair) bersama agensi berkaitan.
Edisi ke-12 program berkenaan pada tahun ini berjaya menarik 35,000 pengunjung dengan menawarkan 2,000 kekosongan jawatan.
Selain itu, penganjuran TEGAS Borneo Makers Festival: AI For Makers dengan kerjasama Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC) pada 23 Ogos lalu turut menarik lebih 5,000 pengunjung ke TEGAS Digital Village.
Menurutnya, program berkenaan memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai kemahiran asas kecerdasan buatan (AI) serta potensi penggunaannya dalam pembangunan teknologi dan inovasi.
Len Talif berkata, TEGAS turut memperkukuh ekosistem syarikat pemula tempatan melalui TEGAS Digital Village dan Digital Innovation Hub di Miri serta Bintulu.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah program bimbingan perniagaan, pembangunan bakat kreatif dan kerjasama dengan rakan industri bagi membantu usahawan muda mengembangkan perniagaan.
Menjelang 2027 dan tahun-tahun berikutnya, TEGAS turut merancang memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk TEGAS Community PlayFarm yang berteraskan pertanian pintar menggunakan Internet Benda (IoT), Sarawak Rocketeer CubeSet Challenge serta pembangunan TEGAS Lodge Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengiktiraf peranan pengamal media sebagai rakan strategik yang membantu memperluas penyampaian maklumat mengenai peluang pendidikan, latihan dan keusahawanan kepada masyarakat.
Menurutnya, kerjasama media penting bagi memastikan pelbagai inisiatif TEGAS dapat diketahui dan dimanfaatkan golongan belia, termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman Sarawak.
“Rakan media adalah penyampai utama berita, rakan strategik pembangunan modal insan,” katanya.



