
KUALA LUMPUR – Cadangan pemberian peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen boleh dibincangkan di peringkat Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) bagi menentukan hala tuju pelaksanaannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan menyerahkan kepada MPP untuk membincangkan perkara dasar berkenaan tanpa campur tangan pihak eksekutif.
“Tugas dan tanggungjawab menentukan hala tuju ahli-ahli Parlimen dalam isu-isu di dewan diberikan kepada MPP.
“Maknanya isunya MPP yang akan menentukan. Saya telah menyebut dalam sesi penerangan menteri bahawa pihak eksekutif angkat tangan (tidak masuk campur),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Azalina menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta penjelasan mengenai pendirian kerajaan terhadap ketiga-tiga isu berkenaan.
Sebelum ini, Parlimen Malaysia dilaporkan diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab MPP susulan penguatkuasaan majlis itu, sekali gus menamatkan bidang kuasa pihak eksekutif terhadap institusi berkenaan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum ini dilaporkan berkata, MPP yang berperanan sebagai badan induk bagi mengawasi autonomi pentadbiran Parlimen Malaysia dijangka beroperasi sepenuhnya pada Disember ini.
Katanya, MPP akan menguruskan skim perkhidmatan, laluan kerjaya dan pentadbiran pegawai Parlimen, selain mengawasi pelaksanaan perkara yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mencadangkan supaya setiap Ahli Parlimen diberikan peruntukan sekurang-kurangnya RM400,000 setahun bagi menampung kos gaji kakitangan, sewa pejabat dan bil utiliti.
Beliau turut mengesyorkan supaya dana berkenaan diuruskan oleh Parlimen, sekali gus membangkitkan persoalan mengenai mekanisme penyaluran peruntukan yang ketika ini berada di bawah kawalan Jabatan Perdana Menteri.
Mengulas cadangan itu, Azalina berkata, MPP boleh mempertimbangkannya, namun sebarang perubahan terhadap pengurusan dan penyaluran peruntukan memerlukan masa untuk dilaksanakan.
Jelasnya, MPP dijangka beroperasi sepenuhnya selepas dua wakil Dewan Negara dipilih pada awal Disember depan bagi melengkapkan keanggotaan majlis berkenaan.


