
KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 6 November ini bagi membincangkan tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuat kuasa Isnin lalu.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun bagi membincangkan persiapan dan urusan pelaksanaan pilihan raya negeri tersebut.
Menurutnya, antara perkara yang akan dibincangkan ialah tarikh pengeluaran writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian serta daftar pemilih yang akan digunakan.
“Sehubungan dengan itu, satu Mesyuarat Khas bagi urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak yang Ke-13 akan diadakan pada 6 November (Jumaat),” menurut kenyataan SPR pada Selasa.
Khairul berkata, SPR secara rasmi menerima pemakluman pembubaran DUN Sarawak Ke-19 melalui surat Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar bertarikh 27 Oktober 2026.
Menurutnya, pembubaran berkuat kuasa 26 Oktober itu dibuat selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.
“Berdasarkan Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut,” menurut kenyataan berkenaan.
Beliau berkata, mesyuarat khas itu turut membincangkan persiapan lain yang diperlukan bagi memastikan perjalanan PRN Sarawak Ke-13 dapat dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
SPR juga akan mengadakan sidang media sejurus selepas mesyuarat khas berkenaan selesai.
Untuk rekod, pembubaran DUN Sarawak Ke-19 diumumkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 23 Oktober lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Bagaimanapun, tarikh penamaan calon dan hari pengundian masih belum ditetapkan secara rasmi.


