
KUCHING – Peranan pengamal media diakui sebagai jentera tunjang utama dalam menterjemahkan dasar kerajaan serta peluang pendidikan menjadi naratif yang mudah difahami dan menginspirasikan masyarakat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Len Talif Salleh berkata, pelbagai usaha dan inovasi yang dibangunkan tidak akan sampai secara meluas kepada rakyat tanpa sokongan padu rakan media.
Beliau berkata, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan pelbagai inisiatif TEGAS secara berkesan khususnya dalam membudayakan Pendidikan Sains, Kejuruteraan, Teknologi dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Menurutnya, inisiatif tersebut turut meliputi program keusahawanan digital hingga ke peringkat akar umbi.
“Medialah jentera yang menterjemahkan dasar dan peluang pendidikan ini. Peranan media amat penting dalam mempromosikan peluang seperti Project of Dreams Realized (PRO-DR) dan Think and Tinker Mini Lab di sekolah luar bandar.
“Hebahan media memberi kesedaran kepada ibu bapa dan pelajar bahawa masa depan teknologi kini berada di hadapan mata mereka, sekali gus memastikan tiada belia yang ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Apresiasi Media Bersama TEGAS di Hotel Riverside Majestic, pada Isnin.
Len Talif berkata, peranan media turut menjadi sumber inspirasi masyarakat menerusi liputan naratif kejayaan usahawan pemula tempatan yang dibimbing oleh TEGAS.
Tambahnya, penglibatan media dalam memaparkan kejayaan anak tempatan menerusi platform TEGAS Digital Village (TDV), program Sarawak Shell LiveWire atau pertandingan antarabangsa mampu meletakkan bakat Sarawak di persada dunia.
“Rakan media bukan sekadar penyampai berita, tetapi rakan strategik pembangunan modal insan.
“Sokongan berterusan media amat dihargai dalam membantu TEGAS merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 demi kemakmuran Sarawak,” katanya.



