
PUCHONG – Sebanyak 50 badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di ibu pejabat Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi menghantar memorandum (MoU) bantahan berkaitan dua isu utama yang didakwa kestabilan politik tanah air.
Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat, Faizan Mohd Nor berkata, isu moral dan fitnah pemimpin kanan parti Bersama menjadi intipati utama MoU tersebut.
“Pertama, isu moral Nik Nazmi Nik Ahmad. Kami mendesak beliau terus untuk meninggalkan dunia politik tanah air.
“Adalah sangat memalukan dan tidak beretika sekiranya beliau terus bersama dalam arena politik tanah air kerana rakyat tidak mahukan ahli politik yang terpalit dengan isu moral menjijikkan,” katanya kepada media selepas menghantar MoU bantahan kepada wakil Bersama.
Faizan turut mendesak pengasas bersama parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli menghentikan fitnah serta hasutan tidak berasas yang boleh mengugat kestabilan ekonomi dan politik tanah air.
“Dengan penghantaran memorandum dan perhimpunan aman ini adalah mewakili suara rakyat Malaysia yang sudah muak dengan isu moral ahli politik, fitnah serta hasutan yang boleh mengugat kestabilan negara dan menyekat pelaburan asing untuk masuk ke Malaysia,” jelasnya lagi.
Antara NGO yang turut hadir ialah Sekretariat Bangkit Nasional, Yayasan Mays, Pertubuhan Gerak Nasional Dan beberapa NGO sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Sebelum ini, Bersama mengumumkan keputusan merehatkan Nik Nazmi daripada menyertai semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan, berkuat kuasa dari 20 Oktober hingga 19 Januari 2027.
Hal ini susulan Nik Nazmi mengesahkan dirinya antara dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam insiden tangkapan khalwat di Petaling Jaya baru-baru ini.


