
KUCHING – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar tidak menolak kemungkinan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 sekiranya diberikan peluang untuk menjadi calon.
Menurutnya, beliau bersedia mempertimbangkan pencalonan sekiranya perkara itu diputuskan oleh parti yang dianggotainya.
“Jika saya dicalonkan, jawapan saya pantang mundur,” katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai kemungkinan beliau kembali bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.
Asfia berkata, kedudukan Speaker DUN Sarawak berbeza daripada amalan terdahulu apabila jawatan berkenaan tidak lagi mensyaratkan seseorang mesti menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurutnya, sebelum ini Speaker turut bertanding dalam pilihan raya, namun perubahan perundangan membolehkan seseorang dilantik memegang jawatan berkenaan tanpa perlu menjadi wakil rakyat yang dipilih.
Beliau menjelaskan bahawa peruntukan tersebut membolehkan individu yang memenuhi kelayakan ditetapkan dilantik sebagai Speaker walaupun tidak memegang kerusi DUN.
Perkara 15(1)(a) Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan pelantikan Speaker oleh Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Premier Sarawak dalam kalangan ADUN atau individu yang layak dipilih sebagai ADUN.
Dalam pada itu, Asfia tidak mengumumkan sebarang keputusan rasmi mengenai pencalonannya bagi menghadapi PRN Sarawak Ke-13.
Untuk rekod, DUN Sarawak Ke-19 telah dibubarkan berkuat kuasa Isnin, 26 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)


