Gambar hiasan
PUTRAJAYA – Fenomena El Nino kuat berpotensi menyebabkan Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dengan membawa taburan hujan lebih sedikit sekali gus mengurangkan kejadian hujan lebat melampau di negara ini.
Pakar Klimatologi, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang berkata, perkara itu berdasarkan dapatan beberapa kajian terdahulu yang menunjukkan kecenderungan pelemahan MTL ketika episod El Nino kuat berlaku.
Menurutnya, El Nino mempengaruhi suhu permukaan laut di rantau ini sekali gus mengubah corak penumpuan kelembapan yang menentukan taburan hujan.
“Corak MTL ketika El Nino kuat didapati cenderung melemah berdasarkan beberapa indikator, termasuk jumlah taburan hujan dan kejadian hujan ekstrem.
“Bagaimanapun, dapatan itu berdasarkan corak purata episod El Nino terdahulu dan keadaan ketika ini mungkin sedikit berbeza,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, kesan fenomena itu terhadap MTL kali ini mungkin berbeza kerana setiap episod El Nino mempunyai ciri tersendiri, selain dipengaruhi perubahan iklim yang menyumbang kepada peningkatan suhu dan kelembapan atmosfera.
Sebelum ini, media melaporkan MTL dijangka bermula esok dan akan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilapor berkata, ketika monsun berkenaan lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah timur laut.
Mengulas potensi berlakunya jerebu rentas sempadan semasa MTL, Fredolin berkata, kejadian jerebu dijangka rendah kali ini berikutan tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut ke selatan.
Katanya, kawasan Sumatera dan Kalimantan dijangka menerima taburan hujan tinggi secara semula jadi akan memadamkan kebakaran yang berlaku di kawasan terbabit.
Berhubung persediaan menghadapi hujan lebat sepanjang MTL, beliau berkata, METMalaysia berupaya menyediakan ramalan cuaca bagi tempoh lima hingga tujuh hari ke depan.
Katanya, ramalan itu penting bagi membolehkan persediaan awal dilaksanakan khususnya di kawasan berisiko mengalami hujan lebat dan banjir.


