KUALA LUMPUR – Negeri-negeri yang ditadbir pembangkang, termasuk Terengganu, tidak dipinggirkan dalam agihan peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, jumlah peruntukan pembangunan bagi Terengganu meningkat kepada RM8.2 bilion pada 2027 berbanding RM6 bilion pada 2022.
Beliau memaklumkan, pelbagai projek pembangunan termasuk sekolah, sekolah agama, jalan kecil dan kerja membaik pulih masjid diluluskan kerajaan.
“Jangan dibangkitkan mengapakah tidak melalui Ahli Parlimen. Jangan.
“Yang diberi kepada Ahli Parlimen, sebagaimana yang berlaku di antara saya dulu sebagai Ketua Pembangkang dan kerajaan yang juga disertai oleh Yang Berhormat, itu adalah dengan persetujuan mantap dalam menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa bagi menjawab pertantaaan Ahli Parlimen PN Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.
Mengulas dakwaan diskriminasi dalam agihan peruntukan, Anwar menjadikan peningkatan jumlah peruntukan Terengganu sebagai contoh.
“Apakah sekolah, sekolah agama, jalan kecil, pembaikan masjid, itu semua diluluskan.
“Sebab itu saya selalu suka bandingkan dengan 2022 kerana peningkatan itu besar daripada RM6 bilion kepada RM8.2 bilion. Ini diskriminasi apa?” soalnya.


