KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) sudah melaksanakan 76 peratus daripada syor Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasinya, dengan baki pelaksanaan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerangka perundangan institusi itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hassan berkata, empat syor yang masih dalam proses pemuktamadan itu membabitkan pindaan Akta Tabung Haji 1995, termasuk peraturan berkaitan tatatertib serta skop kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti.
Beliau berkata, usaha memperkukuh Akta Tabung Haji 1995 sedang giat dilaksanakan selaras dengan syor RCI bagi meningkatkan tahap tadbir urus dan memastikan pengurusan institusi itu lebih baik demi melindungi kepentingan pendeposit.
“Pindaan akta dijangka meningkatkan lagi tahap tadbir urus, termasuk pengurusan institusi yang lebih baik demi melindungi kepentingan pendeposit,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang meminta penjelasan mengenai status pelaksanaan syor RCI Tabung Haji pada 2026, termasuk pindaan Akta 535 serta langkah memperkukuh pelaburan susulan kedudukan aset RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion pada akhir 2025.
Mengulas strategi pelaburan, Zulkifli berkata, TH melaksanakan pendekatan pelaburan secara berhemat, patuh syariah dan berpandukan kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA).
Katanya, kerangka itu memastikan portfolio pelaburan TH mempunyai kepelbagaian bersesuaian merentas kelas aset, sektor dan pasaran bagi mengimbangi keperluan menjana pulangan mampan dengan tahap risiko yang bersesuaian.
“SAA disemak setiap tiga tahun mengikut nilai ambang dan had selera risiko yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata, TH turut mengutamakan pendekatan pengurusan risiko secara berhemat dengan mengambil kira kepentingan serta perlindungan modal pendeposit.
Langkah itu termasuk memastikan kedudukan aset, liabiliti dan kecairan diurus dengan baik, selain menilai setiap pelaburan berdasarkan profil risiko, prospek pulangan serta keadaan pasaran semasa.
Menurutnya, pendekatan berkenaan menyumbang kepada pengukuhan kedudukan kewangan TH apabila pendapatan pelaburan bagi tahun kewangan 2025 meningkat kepada RM4.64 bilion, iaitu paras tertinggi pernah direkodkan.
“Kedudukan kewangan TH juga kekal kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion,” katanya.






