
SARATOK – Tidak berpuas hati dengan pembahagian tanah pusaka keluarga, seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki cuba menyerang bapanya menggunakan kayu serta mengugut mahu membunuh mangsa dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Awik, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika suspek berbincang dengan kedua-dua ibu bapanya mengenai pembahagian tanah pusaka keluarga di Ulu Awik.
Menurutnya, perbincangan berkenaan bertukar menjadi pertengkaran sebelum suspek dipercayai bertindak agresif dengan mengambil sebatang kayu panjang dan cuba menyerang bapanya.
“Suspek bertindak agresif dengan mengambil sebatang kayu dan cuba menyerang pengadu sebelum mengeluarkan kata-kata ugutan mahu membunuh mangsa.
“Suspek turut mengaku cuba menyerang pengadu menggunakan sebatang kayu panjang dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mathew berkata, suspek turut didakwa mengeluarkan ugutan berbunyi ‘Ku bunuh nuan Apai’ (Aku bunuh kau, bapa) terhadap bapanya ketika pertengkaran tersebut.
Menurutnya, kejadian berkenaan turut disaksikan isteri pengadu yang juga ibu kepada suspek.
Beliau berkata, mangsa yang berasa takut dengan tindakan anaknya kemudian membuat laporan di Balai Polis Saratok untuk tindakan lanjut.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji menahan suspek di hadapan sebuah rumah di Awik pada hari sama.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif amphetamine (AMP) dan methamphetamine (METH),” katanya.
Mathew berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung pembahagian tanah pusaka keluarga.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.



