
KUCHING – Seorang lelaki berusia lingkungan 57 tahun meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah di jalan raya sejurus memberhentikan motosikalnya di Jalan Bayor Bukit, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 7.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Tabuan Jaya menuju ke tempat kerja di Perhentian Bas Kuching.
Beliau berkata, mangsa dipercayai memberhentikan motosikalnya di bahu kiri jalan sebelum tiba-tiba terjatuh dan rebah di lokasi berkenaan.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa.
Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Tamimi Majni di talian 017-2046414 atau 082-259900, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.



