
KUCHING – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) belum menerima sebarang laporan mengenai pelajar Malaysia yang mengalami kecederaan susulan pergolakan dan demonstrasi di beberapa kawasan di Perancis.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keselamatan pelajar Malaysia di negara berkenaan sentiasa dipantau dengan kerjasama Kementerian Luar bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Menurutnya, keadaan semasa lebih memberi kesan kepada pergerakan pelajar, khususnya di kawasan yang terlibat dengan demonstrasi dan gangguan keselamatan.
“Setakat ini, mereka lebih terjejas dari segi pergerakan.
“Dari segi keselamatan, kami belum menerima sebarang laporan mengenai pelajar yang mengalami kecederaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan kelulusan taraf universiti penuh kepada Kolej Universiti i-CATS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa.
Zambry berkata, KPT bersama Kementerian Luar terus memantau perkembangan semasa dan menasihatkan rakyat Malaysia, khususnya pelajar, supaya mengelakkan kawasan yang mengalami pergolakan.
Menurutnya, langkah berjaga-jaga penting bagi memastikan pelajar tidak terdedah kepada sebarang risiko keselamatan, terutama di lokasi yang dikenal pasti terjejas.
Beliau berkata, pihak kementerian juga bersedia bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya keadaan menjadi semakin serius.
Dalam keadaan tertentu, katanya, pelajar yang berada berhampiran kawasan pergolakan boleh dibantu untuk berpindah ke lokasi lebih selamat melalui penyelarasan pihak berkuasa berkaitan.
Bagaimanapun, Zambry menjelaskan bahawa sebarang keputusan membawa pulang pelajar Malaysia bergantung kepada perkembangan keadaan keselamatan semasa.
Menurutnya, langkah yang lebih utama ketika ini adalah memastikan pelajar menjauhi kawasan terjejas serta mematuhi nasihat keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Beliau berkata, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang tindakan yang diperlukan dapat dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Luar.
Zambry turut menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan pelajar Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.


