
PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk kerajaan persekutuan menilai semua saluran perundangan antarabangsa bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang berlarutan selama 34 tahun.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia termasuk kemungkinan membawa pertikaian ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah, persetujuan pihak berkaitan dan kekuatan bukti.
Beliau berpandangan, rakyat berhak mendapat penjelasan menyeluruh tentang keberkesanan kerjasama ASEAN dalam melindungi kesihatan awam, alam sekitar dan keselamatan ekonomi negara.
“Kerjasama serantau tidak boleh terhenti pada kenyataan bersama tanpa mekanisme pemantauan, penguatkuasaan dan pertanggungjawaban yang jelas. Saluran perundangan antarabangsa bagi menangani isu jerebu rentas sempadan perlu dinilai semula yang berlarutan selama 34 tahun
“Ini termasuk kemungkinan membawa pertikaian ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah, persetujuan pihak berkaitan dan kekuatan bukti,” katanya kepada kenyataan The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Mengulas lanjut, Jais berpandangan, kerajaan juga perlu menerbitkan laporan kemajuan secara berkala serta memastikan hak rakyat untuk menikmati udara bersih kekal sebagai keutamaan.

Pada masa sama, menurut beliau, MCW turut menggesa siasatan bebas, telus dan menyeluruh terhadap sebarang unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa, kelemahan penguatkuasaan atau perlindungan terhadap pihak yang terlibat dalam pembakaran haram.
“Sebarang kecuaian atau konflik kepentingan mesti ditangani tanpa mengira kedudukan. Diplomasi perlu diteruskan, tetapi mesti disusuli tindakan nyata, berjadual dan boleh diukur.
“Udara bersih bukan keistimewaan, tetapi hak asas rakyat yang wajib dilindungi,” katanya.
Terdahulu, meskipun beberapa kawasan mengalami hujan lebat sehingga dilanda banjir, namun jerebu masih membelenggu negara ini dengan 27 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 10 pagi, pada Isnin.
Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan Johan Setia masih mencatatkan bacaan IPU tertinggi dengan 172 manakala Nilai pada kadar 169.
Turut alami keadaan sama di Bukit Rambai dengan bacaan 168, Alor Gajah (165), Bandaraya Melaka (164), Tangkak (164), Seremban (163), Batu Muda (162), Pasir Gudang (161), Petaling Jaya (160), Klang (158), Batu Pahat (158) dan Rompin (158).
Terjejas sama adalah Banting dengan bacaan 156, Kota Tinggi (155), Cheras (154), Putrajaya (154), Shah Alam (154), Port Dickson (153), Kluang (153), IPD Serian (153), Larkin (152), Indera Mahkota (151), Kuching (151), Samarahan (124), Seri Manjung (115) dan Pengerang (109).
Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana





