KUALA LUMPUR – Penjawat awam digalak menyahpasang aplikasi navigasi Waze daripada peranti masing-masing bagi memperkukuh keselamatan dan perlindungan data, susulan arahan larangan penggunaannya ketika menjalankan tugas rasmi.
Perkara itu dijelaskan menerusi Soalan Lazim (FAQ) yang diterbitkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) hari ini, susulan surat Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, semalam berhubung larangan penggunaan aplikasi berkenaan dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
FAQ itu menjelaskan larangan berkenaan ketika ini hanya terpakai semasa penjawat awam menjalankan urusan rasmi kerajaan. Bagaimanapun, mereka disaran beralih kepada aplikasi navigasi alternatif tempatan yang bersesuaian.
Menurut FAQ itu, keputusan berkenaan mengambil kira aspek keselamatan dan perlindungan data pengguna di Malaysia memandangkan Waze mengumpul pelbagai maklumat, termasuk data lokasi, pergerakan, perjalanan serta maklumat peranti pengguna.
Selain itu, Terma Penggunaan Waze turut memperuntukkan pemakaian undang-undang Israel serta bidang kuasa mahkamah negara itu bagi pertikaian berkaitan penggunaan perkhidmatan berkenaan.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan maklumat negara, mengambil kira potensi pengumpulan data lokasi dan pergerakan pengguna di luar waktu bekerja, bergantung pada tetapan peranti serta kebenaran akses aplikasi,” menurut FAQ itu.
FAQ berkenaan turut menjelaskan takrif anggota perkhidmatan awam berdasarkan Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan, yang merangkumi angkatan tentera, perkhidmatan kehakiman dan perundangan serta perkhidmatan awam am Persekutuan.
Ia turut meliputi pasukan polis, perkhidmatan awam bersama seperti yang dinyatakan dalam Perkara 133, perkhidmatan awam setiap negeri dan perkhidmatan pendidikan.
Mengenai kaitan Waze dengan Israel, FAQ itu menjelaskan aplikasi berkenaan dibangunkan oleh Waze Mobile Ltd, sebuah syarikat yang didaftarkan dan diperbadankan mengikut undang-undang negara itu.
“Terma Penggunaan Aplikasi Waze memperuntukkan bahawa penggunaan Aplikasi Waze adalah ditadbir sepenuhnya mengikut undang-undang Israel dan apa-apa tuntutan, pertikaian adalah di bawah bidang kuasa eksklusif mahkamah di daerah Tel Aviv, Israel,” menurut FAQ itu.
Penilaian risiko terhadap aplikasi berkenaan turut mengambil kira jenis data yang diakses, kebenaran yang diberikan kepada aplikasi, lokasi dan bidang kuasa pemprosesan data, selain dasar serta tempoh penyimpanan maklumat.
Penilaian itu juga merangkumi mekanisme perkongsian data dengan pihak ketiga dan kawalan keselamatan yang dilaksanakan oleh penyedia aplikasi.
Menurut FAQ itu, Polisi Privasi Waze menunjukkan skop maklumat yang dikumpul melalui penggunaan aplikasi berkenaan lebih luas daripada data lokasi semata-mata.
Ia merangkumi maklumat terperinci berkaitan lokasi, perjalanan dan laluan pengguna, termasuk data Sistem Pengesanan Global (GPS), sensor peranti yang digabungkan dengan cap masa, alamat Protokol Internet (IP) serta maklumat daripada sensor atau penerima lain pada atau di sekitar peranti.
Bergantung pada tetapan peranti dan akaun pengguna, maklumat berkaitan lokasi dan perjalanan juga boleh dikumpulkan walaupun aplikasi tidak digunakan secara aktif.
FAQ itu menjelaskan pengumpulan data secara berterusan atau berulang boleh mendedahkan corak pergerakan dan aktiviti pengguna apabila dianalisis secara agregat.
Bagaimanapun, FAQ berkenaan menyatakan tiada bukti bahawa Waze menjalankan analisis sedemikian terhadap penggunanya. Namun, kemungkinan data yang dikumpul digunakan atau terdedah kepada analisis sedemikian tetap menjadi risiko yang perlu dipertimbangkan dalam aspek keselamatan siber.





