KUALA LUMPUR – Aspek keselamatan dan kedaulatan negara terus menjadi keutamaan kerajaan dalam menilai penggunaan aplikasi digital yang mempunyai kaitan dengan Israel, termasuk aplikasi navigasi Waze.
Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, perlindungan data rakyat dan maklumat negara perlu diberi perhatian serius, khususnya membabitkan aplikasi yang tertakluk kepada undang-undang serta bidang kuasa Israel.
“Kerajaan memandang serius pengumpulan data lokasi, pergerakan, perjalanan serta maklumat peranti pengguna oleh aplikasi navigasi Waze, khususnya apabila terma penggunaannya memperuntukkan pemakaian undang-undang Israel serta bidang kuasa mahkamah rejim itu bagi pertikaian berkaitan penggunaan perkhidmatannya,” menurut kenyataan itu.
Menurut MKN, maklumat lokasi dan corak pergerakan pengguna ialah data sensitif yang memerlukan perlindungan sewajarnya, terutama apabila membabitkan urusan rasmi serta kepentingan strategik negara.
MKN turut mengingatkan bahawa kemudahan yang ditawarkan teknologi tidak seharusnya mengatasi kepentingan keselamatan negara, memandangkan profil pergerakan pengguna mempunyai risiko dari sudut keselamatan data.
Sehubungan itu, MKN menyarankan penjawat awam dan rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), atau aplikasi tempatan lain yang bersesuaian.
Langkah itu selaras dengan usaha memperkukuh perlindungan data dan memastikan penggunaan teknologi mengambil kira aspek keselamatan serta kedaulatan negara.





