
KANGAR – Masa depan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis kini bergantung kepada pendirian enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas susulan penggantungan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan berkata, sokongan enam wakil rakyat berkenaan menjadi antara faktor penting dalam menentukan kedudukan Abu Bakar sebagai peneraju pentadbiran negeri.
Menurutnya, pendirian keenam-enam ADUN Pas itu perlu diketahui bagi menentukan sama ada mereka masih memberikan sokongan kepada Abu Bakar atau sebaliknya.
“Pentadbiran berjalan seperti biasa, tetapi saya fikir perkara ini perlu ditanya kepada enam wakil rakyat berkenaan,” katanya ketika mengulas perkembangan politik negeri hari ini.
Rus’sele berkata, beliau juga belum menerima sebarang pemakluman rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kedudukan Menteri Besar susulan tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya.
Katanya, Abu Bakar masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan penggantungan keahlian Bersatu dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Beliau berkata, kemungkinan terdapat perkembangan atau keputusan lanjut berhubung perkara itu selepas proses rayuan berkenaan.
Terdahulu, Abu Bakar yang juga ADUN Kuala Perlis digantung keahlian Bersatu selama dua penggal pemilihan parti susulan keputusan Lembaga Disiplin yang bersidang pada 13 Oktober lalu.
Penggantungan itu disahkan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim berdasarkan surat bertarikh 14 Oktober yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan.
Susulan keputusan berkenaan, Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan dalam Bersatu dan dilarang mengeluarkan kenyataan atas nama parti sepanjang tempoh penggantungan.
Bagaimanapun, tindakan disiplin parti itu tidak dengan sendirinya bermakna Abu Bakar kehilangan jawatan Menteri Besar, manakala kedudukan politiknya kini menjadi perhatian berikutan persoalan sokongan wakil rakyat terhadap kepimpinannya.




