Tiga persatuan media hargai insentif khas RM700 kerajaan Sarawak

Oleh Tengku Majis dan Haziq Azhar

KUCHING – Tiga persatuan media di Sarawak menyambut baik pengumuman insentif khas RM700 secara sekali bayar kepada pengamal media swasta yang berdaftar dengan enam persatuan media di negeri ini.

Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Pertubuhan Wartawan Bebas (PEWARTA) dan Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) Cawangan Sarawak masing-masing merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan pengamal media.

Presiden KDJA, Ronnie Teo Teck Wei berkata, pemberian insentif berkenaan mencerminkan pengiktirafan berterusan kerajaan Sarawak terhadap peranan wartawan dan petugas media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Menurutnya, pengamal media berhadapan pelbagai cabaran termasuk waktu bekerja yang panjang dan tidak menentu, tugasan mencabar serta tanggungjawab memastikan maklumat tepat dan boleh dipercayai disampaikan kepada orang ramai.

“Penghargaan ini merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi, pengorbanan dan usaha pengamal media yang sering tidak kelihatan dalam memastikan masyarakat Sarawak sentiasa mendapat maklumat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ronnie berkata, kerajaan Sarawak sebelum ini turut menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pengamal media menerusi bantuan yang disalurkan ketika pandemik COVID-19.

Menurutnya, pengiktirafan itu turut memperlihatkan kepentingan peranan persatuan media dalam memperjuangkan kebajikan, pembangunan profesional dan kemajuan industri kewartawanan di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, KDJA terus memperkukuh usaha memperjuangkan kepentingan ahlinya melalui penyertaan dalam Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) bagi meningkatkan perwakilan wartawan Sarawak di peringkat kebangsaan.

Katanya, penglibatan beliau sebagai Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia bagi penggal 2025 hingga 2027 turut membuka ruang untuk memperjuangkan kebebasan media, perlindungan hak wartawan dan kepentingan pengamal media Sarawak.

Sementara itu, Presiden PEWARTA, Peter Sibon berkata, pemberian insentif berkenaan membuktikan penghargaan kerajaan Sarawak terhadap peranan pengamal media sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat.

Menurutnya, wartawan memainkan tanggungjawab penting dalam memastikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif dan agenda pembangunan negeri disampaikan secara tepat, adil serta bertanggungjawab.

“Kami melihat insentif ini bukan sahaja sebagai satu bentuk penghargaan yang bermakna, malah dorongan kepada pengamal media untuk terus melaksanakan tugas dengan profesionalisme, integriti dan komitmen,” katanya.

Peter berharap inisiatif berkenaan dapat terus memperkukuh hubungan kerja antara kerajaan dan pengamal media, di samping meningkatkan kerjasama dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang sahih serta berkualiti.

Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi CJA Cawangan Sarawak, Nancy Nais turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas pengumuman bantuan berkenaan.

Menurutnya, insentif itu mencerminkan pengiktirafan terhadap sumbangan wartawan, jurugambar dan petugas media yang sering melaksanakan tugasan dalam keadaan mencabar bagi menyampaikan berita tepat serta dipercayai masyarakat.

“Selain bantuan kewangan, insentif ini membawa mesej bermakna bahawa kebajikan dan sumbangan pengamal media dihargai serta diberikan perhatian,” katanya.

Nancy berharap sokongan berterusan itu dapat menggalakkan pengamal media mempertahankan profesionalisme, integriti dan kewartawanan yang bertanggungjawab demi kepentingan masyarakat.

Terdahulu, Abang Johari ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu mengumumkan insentif khas RM700 secara sekali bayar kepada pengamal media swasta yang berdaftar dengan enam persatuan media di negeri ini.

Related Posts

MB Perlis wajar letak jawatan jika ‘gentleman’

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah wajar melepaskan jawatannya secara sukarela sekiranya berpegang kepada prinsip ‘gentleman‘ atau lelaki budiman susulan penggantungan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sultan Pahang bimbang gejala sosial, budaya kebencian generasi muda

PEKAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan kebimbangan terhadap gejala sosial dalam kalangan generasi muda, termasuk penyalahgunaan dadah, budaya buli, perjudian digital serta pergaulan melampaui batas.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MB Perlis wajar letak jawatan jika ‘gentleman’

MB Perlis wajar letak jawatan jika ‘gentleman’

Sokongan enam ADUN Pas penentu nasib MB Perlis – Speaker

Sokongan enam ADUN Pas penentu nasib MB Perlis – Speaker

Tiga persatuan media hargai insentif khas RM700 kerajaan Sarawak

Tiga persatuan media hargai insentif khas RM700 kerajaan Sarawak

‘Tunjuk penyata bank’ – Zizie Izette cabar penyebar dakwaan harta Bung Moktar RM1.17 bilion

‘Tunjuk penyata bank’ – Zizie Izette cabar penyebar dakwaan harta Bung Moktar RM1.17 bilion

Sultan Pahang bimbang gejala sosial, budaya kebencian generasi muda

Sultan Pahang bimbang gejala sosial, budaya kebencian generasi muda

Kalah saman RM300,000: Akmal terpaksa gadai dua aset nilai sentimental jadi taruhan

Kalah saman RM300,000: Akmal terpaksa gadai dua aset nilai sentimental jadi taruhan