KUALA LUMPUR – Kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi navigasi tempatan TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif kepada Waze, susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggunaan Waze menimbulkan kebimbangan berikutan aplikasi itu tertakluk kepada undang-undang Israel.
Beliau berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil 3/2026, semalam, bagi meneliti perkembangan ancaman siber serta memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.
“Turut dibincangkan ialah pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC), ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat. Justeru, kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui PQC,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, usaha itu penting bagi memastikan pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengabaikan aspek keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara.





