KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia bersetuju memperkukuh kerjasama dalam sektor komunikasi dan digital, merangkumi pengurusan isu media sosial, hubungan dengan platform digital serta reformasi spektrum.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala dengan Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Hafid, sebelum beliau menyampaikan ucaptama pada Bali Tech Week 2026.
Beliau berkata, hubungan erat antara kedua-dua negara dalam sektor berkenaan penting bagi memastikan kerjasama yang dilaksanakan dapat memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia dan Indonesia.
“Insya-Allah, hubungan Malaysia-Indonesia dalam bidang komunikasi dan digital akan terus erat, dengan kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Fahmi berkata, perbincangan itu turut menyentuh peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta usaha memperkukuh kerjasama digital di peringkat serantau.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menyampaikan jemputan kepada Meutya untuk menghadiri M360 ASEAN 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia.
Jemputan berkenaan selaras perjanjian berbilang tahun antara Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA) dengan Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2028.
M360 ASEAN merupakan platform yang menghimpunkan pemain industri dan pihak berkepentingan untuk membincangkan perkembangan serta cabaran dalam sektor komunikasi mudah alih dan digital di rantau ini.

