
SLOGAN penyatuan ummah yang sering dilaungkan Pas dilihat bercanggah dengan tindakan parti itu sendiri apabila hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) retak, manakala Perikatan Nasional (PN) kini berdepan kemelut yang mengancam kelangsungan gabungan itu.
Presiden Parti Perkasa Bumiputera Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, istilah penyatuan ummah tidak wajar digunakan sekiranya kerjasama yang dimaksudkan hanya membabitkan Pas dan UMNO, sedangkan parti Melayu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam lain tidak dilibatkan.
Beliau berkata, penyatuan ummah sepatutnya merangkumi keseluruhan umat Islam, bukan sekadar kerjasama politik antara dua parti demi kepentingan tertentu.
“Jangan jadi hipokrit. Jangan guna perkataan ummah ini. Sebut terus penyatuan Pas dengan UMNO. Ini bukan penyatuan ummah.
“Kalau dalam konteks politik pun, setidak-tidaknya semua parti politik Melayu dan NGO Melayu Islam perlu dilibatkan. Ini antara Pas dengan UMNO sahaja,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Selasa.
Ibrahim berkata, kemelut yang berlaku dalam PN, khususnya hubungan Pas dan Bersatu, memperlihatkan percanggahan antara slogan perpaduan yang dibawa dengan tindakan politik parti berkenaan.
Katanya, Bersatu yang menjadi rakan Pas dalam PN kini berdepan hubungan yang semakin keruh, sedangkan gabungan itu sebelum ini dibentuk atas matlamat menyatukan kekuatan politik Melayu dan Islam.
“Pas dan Bersatu bercerai. Itu bukan penyatuan. Ummah itu berpecah,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Pas yang sebelum ini bekerjasama dengan Bersatu untuk membentuk PN, tetapi kemudian beralih kepada usaha menjalin kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai prinsip penyatuan ummah yang sering ditekankan Pas, sedangkan hubungan politik dengan rakan sendiri tidak dapat dipertahankan.
Ibrahim berkata, sejarah politik Pas dan UMNO juga menunjukkan bagaimana persaingan antara kedua-dua parti itu pernah mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam, termasuk apabila perbezaan politik dibawa ke dalam kehidupan bermasyarakat.
Katanya, keadaan itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada pemimpin politik supaya tidak menggunakan agama dan perpaduan ummah sebagai slogan semata-mata.
“Dia bercakap hendak mempertabatkan Melayu, hendak mempertabatkan orang Islam dan mengukuhkan ummah, tetapi dia sendiri menjadi juara berpecah.
“Pas sendiri melakukan sesuatu yang saya lihat turut menyumbang kepada perpecahan ummah,” katanya.
Mengulas tindakan Pas terhadap Bersatu, Ibrahim menyifatkan pendekatan parti itu sebagai tidak wajar, terutama apabila perbezaan dan pertikaian dalaman sepatutnya diselesaikan melalui rundingan.
Beliau berkata, sekiranya terdapat kelemahan atau perkara yang tidak dipersetujui dalam Bersatu, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan besar dibuat terhadap hubungan kedua-dua parti.
“Kalau hendak berpisah, bukan terus sahaja hendak bercerai. Sepatutnya ada rundingan dan usaha untuk menyelesaikan masalah,” katanya.
Kemelut PN semakin meruncing apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran gabungan itu pada 20 Oktober, susulan pertikaian dalaman dan isu pematuhan perlembagaan gabungan. Keputusan itu turut menjejaskan kedudukan PN sebagai gabungan untuk menghadapi pilihan raya, termasuk PRN Melaka.
Perkembangan berkenaan menyusul pertikaian antara Pas dan Bersatu mengenai kedudukan serta penglibatan parti itu dalam mesyuarat kepimpinan PN, selain usaha Pas meneroka kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka.
PN pula menyatakan hasrat mencabar keputusan RoS melalui saluran undang-undang.

