
PAS tidak seharusnya terlalu ghairah menawarkan diri untuk memerintah negara ketika Perikatan Nasional (PN) yang diterajui parti itu sendiri berdepan krisis susulan pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar berkata, perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kepimpinan Pas mengurus gabungan politik serta memelihara kepercayaan dalam kalangan rakan komponennya.
Beliau berkata, meskipun PN sedang mencabar keputusan berkenaan melalui saluran undang-undang, krisis itu tetap menjadi ujian terhadap kemampuan kepimpinan gabungan berkenaan.
“Pas jangan terlalu ghairah menjual mimpi untuk memerintah Malaysia sedangkan krisis PN yang diterajui Pas sendiri menimbulkan persoalan besar tentang kemampuan kepimpinannya.
“Nak jadi nakhoda negara, tetapi kapal sendiri terumbang-ambing. Nak meminta kepercayaan rakyat, tetapi kepercayaan dalam gabungan sendiri pun menjadi persoalan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Mahfuz berkata, Pas perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimana parti itu mampu mentadbir negara yang lebih kompleks sekiranya kepercayaan antara rakan politik sendiri sukar dipelihara.
Menurutnya, jumlah kerusi yang dimiliki sesebuah parti tidak bermakna parti itu secara automatik menjadi paling layak untuk memimpin negara.
Katanya, kepimpinan memerlukan kebijaksanaan, kemampuan berkongsi kuasa, menghormati rakan politik serta membina kepercayaan dalam sesebuah gabungan.
Dalam pada itu, beliau mendakwa Pas cenderung menggunakan sentimen agama dan kaum sebagai modal politik ketika berdepan masalah, sedangkan pendekatan sedemikian tidak mampu menyelesaikan pertikaian atau menggantikan kecekapan kepimpinan.
“Sentimen tidak mampu membaiki hubungan yang retak, slogan tidak mampu menyelesaikan pertikaian dan retorik tidak mampu menggantikan kecekapan.
“Rakyat mahu penyelesaian, bukan sekadar persembahan politik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Pas supaya tidak menjadikan kekuatan pilihan raya sebagai alasan untuk menganggap parti itu sentiasa layak menerajui kepimpinan negara.
Mahfuz berkata, Pas perlu membuktikan terlebih dahulu kemampuannya menjaga amanah, memelihara kepercayaan serta mengurus hubungan dengan rakan politik sebelum meminta mandat rakyat untuk mentadbir Malaysia.
“Jangan minta rakyat menyerahkan kunci negara kepada Pas hanya kerana Pas mahu berkuasa. Buktikan dahulu bahawa Pas mampu menjaga amanah, memelihara kepercayaan dan mengurus rakan sendiri.
“Negara bukan tempat untuk belajar mengemudi setelah kapal mula karam,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyindir Pas supaya menumpukan perhatian kepada kemelut kepimpinan dalam PN sebelum bercita-cita mengambil alih pentadbiran negara di Putrajaya.
“Pas jangan sibuk mahu memandu Malaysia di Putrajaya jika stereng PN sendiri pun gagal dikawal dengan meyakinkan hingga akhirnya masuk gaung,” katanya.

