
KABONG – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki mencederakan isteri dan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Gerigat, di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek berusia 34 tahun yang bekerja sebagai buruh itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) pada Isnin.
Menurutnya, tangkapan dilakukan kira-kira jam 8 malam di tepi Jalan Gerigat, Kabong, selepas polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan isterinya yang berusia 27 tahun.
“Suspek dipercayai memukul isterinya menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan lebam di bahagian kening kanan, manakala anak lelaki mereka turut mengalami lebam di kening kiri selepas dipukul,” katanya.
Mathew berkata, pengadu dan anaknya kemudian ditarik oleh tuai rumah bagi mengelakkan kejadian lebih buruk sebelum wanita itu membuat laporan di Balai Polis Kabong untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengaku memukul isteri dan anaknya ketika berlaku perselisihan faham.
“Suspek mendakwa berasa marah selepas dimarahi isterinya kerana kerap mengambil minuman keras. Dia turut mengaku baru selesai meminum langkau bersama rakan-rakannya di rumah panjang ketika kejadian,” katanya.
Menurut Mathew, pasangan berkenaan telah mendirikan rumah tangga selama lapan tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan pengadu, suspek didakwa hampir setiap hari mengambil minuman keras dan sering memukulnya apabila berlaku perselisihan faham antara mereka.
Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) dan berstatus selesai.


