
KUCHING – Penilaian keselamatan bangunan di 680 sekolah yang dikenal pasti memerlukan perhatian di Sarawak perlu mengambil kira keadaan serta tahap kerosakan kemudahan di setiap sekolah berkenaan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pengkategorian sekolah sebagai tidak selamat tidak semestinya bermaksud keseluruhan bangunan di kawasan sekolah terbabit berada dalam keadaan yang sama.
Menurutnya, terdapat beberapa kategori penilaian keselamatan yang digunakan bagi menentukan keadaan infrastruktur sekolah, termasuk mengenal pasti bangunan yang memerlukan kerja pembaikan atau naik taraf.
“Terdapat beberapa kategori. Sesebuah sekolah mungkin dianggap tidak selamat, tetapi bukan setiap bangunan di sekolah itu berada dalam keadaan tidak selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa.
Roland menjelaskan bahawa penilaian berkenaan penting bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan kemudahan pendidikan, sekali gus membantu mengenal pasti keperluan penambahbaikan di sekolah terbabit.
Tambahnya, setiap bangunan mempunyai keadaan dan tahap kerosakan yang berbeza, justeru penelitian sewajarnya diperlukan bagi menentukan tindakan susulan.
Terdahulu pada Isnin, beliau memaklumkan sebanyak 680 sekolah di Sarawak dikenal pasti berada dalam kategori tidak selamat untuk diduduki melibatkan penilaian Skala 6 dan 7.
Dalam pada itu, Roland berkata, usaha membaik pulih dan menaik taraf sekolah daif sedang dilaksanakan menerusi beberapa pakej pembiayaan, termasuk peruntukan pendahuluan RM1 bilion.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menambah baik infrastruktur pendidikan serta menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif.
Bagaimanapun, jumlah sekolah yang masih digunakan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran serta bilangan pelajar yang terlibat tidak diperincikan ketika sesi bersama media.


