
KOTA KINABALU – Jumlah denda mahkamah bagi kesalahan berkaitan bekalan elektrik di Sabah mencecah RM2.23 juta sejak Energy Commission of Sabah (ECoS) mengambil alih kuasa kawal selia sektor itu pada 2024 hingga Oktober 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, jumlah itu membabitkan 81 rekod sabitan, termasuk 50 kes direkodkan sehingga 16 Oktober tahun ini.
“Kes pada 2026 merangkumi 28 kes sambungan elektrik haram, 19 kes usikan pepasangan meter, dua kes berkaitan kemalangan renjatan elektrik dan satu kes membekalkan elektrik tanpa lesen.
“Bagi 2026 sahaja, sebanyak 50 rekod sabitan direkodkan sehingga Oktober, dengan jumlah denda RM1,601,800. Ini berbanding lapan rekod sabitan dengan denda RM160,000 pada 2024 dan 23 rekod sabitan dengan denda RM465,000 pada 2025,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Tambahnya, sebanyak 41 kes masih dalam proses pendakwaan manakala 33 kes lagi dalam proses tindakan kompaun.
Beliau berkata, anggaran kerugian Sabah Electricity (SE) akibat kes kecurian elektrik dan usikan pepasangan meter yang telah disabitkan berjumlah RM9.49 juta.
“Denda tertinggi yang direkodkan ialah RM635,000 terhadap Asis Cengkuru di Mahkamah Sandakan pada 9 Julai lalu bagi kes sambungan elektrik haram.
“Individu berkenaan turut dipenjara lapan bulan kerana gagal membayar denda sebelum diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan pengusiran,” jelasnya.
Abdul Nasser turut memaklumkan, pengusaha pasar raya mini, Mohd Arif Koh Kean Lin didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Keningau pada 13 Oktober lalu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan sambungan elektrik haram di premis perniagaannya di Kampung Taurid Taud.
“Sehubungan itu, tindakan pendakwaan bukan sahaja bertujuan membawa pesalah ke muka pengadilan, malah mencegah kesalahan sama daripada berulang.
“Pemilik dan pengusaha premis perlu memastikan semua pepasangan serta sambungan elektrik mematuhi undang-undang dan tidak mengubah suai pepasangan meter tanpa kebenaran,” tegasnya.





