
KUCHING – Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak mempertahankan keputusan menggantung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen daripada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sambil menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab.
Pemuda PBB Sarawak dalam kenyataan media pada Isnin berkata, pihaknya menolak dakwaan bahawa penggantungan Chong merupakan tindakan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi.
Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan bukan disebabkan Chong mengemukakan soalan atau menjalankan tanggungjawab menuntut akauntabiliti kerajaan, sebaliknya berkaitan dakwaan yang dikemukakan ketika persidangan.
“Chong tidak digantung kerana mengemukakan soalan atau menuntut akauntabiliti awam.
“Beliau dikenakan tindakan kerana membuat dakwaan yang tidak disahkan di dalam Dewan dan enggan menyokongnya dengan bukti yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Pemuda PBB turut menegaskan bahawa DUN Sarawak mempunyai Peraturan Tetap yang perlu dipatuhi semua wakil rakyat, termasuk ketika membahaskan dasar kerajaan dan membangkitkan isu kepentingan awam.
Menurutnya, pindaan terhadap Peraturan Tetap DUN sebelum ini bertujuan memastikan setiap ADUN bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat serta mengelakkan penyebaran dakwaan tanpa asas.
Dalam pada itu, Pemuda PBB berpandangan bahawa peranan pembangkang dalam sistem demokrasi perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan membuat penelitian, mendapatkan maklumat tepat dan mengemukakan dakwaan yang mempunyai bukti.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa penguatkuasaan peraturan persidangan penting bagi memastikan kelancaran urusan Dewan dan memelihara kewibawaan institusi perundangan negeri.
Pemuda PBB turut menyifatkan penggantungan Chong sebagai peringatan bahawa wakil rakyat perlu memahami dan menghormati peraturan serta tanggungjawab yang mengiringi mandat diberikan pengundi.
Bagaimanapun, Chong sebelum ini mempertikaikan keputusan penggantungannya dan mendakwa tindakan itu dibuat selepas beliau mempersoalkan ketepatan dokumen Belanjawan Sarawak 2027 tanpa diberikan peluang mempertahankan diri.
Untuk rekod, DUN Sarawak pada 15 Oktober lalu meluluskan usul penggantungan Chong sehingga tamat persidangan pada 21 Oktober ini, dengan 62 undi menyokong, satu menentang dan satu berkecuali.
Pemuda PBB dalam kenyataan sama turut mempertahankan pentadbiran kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sambil menyatakan komitmen terhadap tadbir urus dan pembangunan negeri.






