
PENGENDALI Manchester United, Michael Carrick mengambil sisi positif daripada ketahanan mental anak buahnya ketika seri 1-1 menentang Leeds United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
United kini hanya mencatat satu kemenangan dalam tujuh perlawanan liga, sekali gus terperosok di tangga ke-13, jauh berbeza berbanding pencapaian di tempat ketiga musim lalu.
Carrick mengakui pasukannya masih gagal mempamerkan kualiti sebenar, terutama ketika menguasai bola, namun tetap melihat perkembangan positif menerusi disiplin dan semangat kebersamaan pemain ketika berdepan tekanan dalam pertembungan sengit di Elland Road.
“Mungkin dari segi kualiti tertinggi, kami belum mencapai tahap terbaik yang sebenarnya mampu kami pamerkan.
“Dengan keputusan yang diraih sebelum ini, permainan kami belum benar-benar lancar, tetapi masih ada perkara positif yang boleh diambil,” katanya.
Bagi Carrick, perkara lebih penting adalah cara pemainnya bertindak balas ketika berdepan kesukaran.
Selepas sekadar seri 1-1 dengan Tottenham Hotspur yang menghuni tangga tercorot minggu lalu sebelum tewas 0-2 kepada Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara, persiapan United menjelang pertembungan dengan Leeds turut dibayangi kontroversi membabitkan Lisandro Martinez.
Pertahanan Argentina itu sebelum ini mengkritik pengurusan kelab secara terbuka sebelum tampil memohon maaf.
Dalam situasi berkenaan, Carrick lebih menekankan aspek organisasi permainan berbanding gaya persembahan. United dilihat lebih sukar ditembusi, manakala pemain dipuji kerana mematuhi peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam perlawanan yang disifatkannya sengit serta boleh memihak kepada mana-mana pasukan.
“Ia bukan sekadar soal usaha. Ia berkaitan cara anda melaksanakannya, perancangan, tanggungjawab dan peranan. Saya fikir pemain melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik dalam kebanyakan masa,” katanya.
Bagaimanapun, kelemahan yang menghantui United masih belum dapat diatasi apabila mereka melepaskan kelebihan menerusi situasi bola mati, selain gagal mempamerkan kualiti mencukupi ketika menguasai bola untuk mengawal permainan.







