
KUCHING – Penubuhan cawangan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Sarawak bakal memperluas akses kepada perkhidmatan penyelesaian pertikaian alternatif bertaraf antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong pertumbuhan perdagangan rentas sempadan di rantau Borneo.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kehadiran AIAC di Kuching berpotensi menjadikan Sarawak sebagai hab penyelesaian pertikaian serantau yang melengkapi operasi pusat berkenaan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, kemudahan itu akan menyediakan platform penyelesaian pertikaian komersial antarabangsa menerusi kaedah timbang tara, pengantaraan dan mekanisme alternatif lain yang lebih fleksibel.
“Pelabur perlu mempunyai keyakinan bahawa mereka bukan sahaja dilindungi melalui sistem mahkamah, malah mempunyai akses kepada platform penyelesaian pertikaian antarabangsa yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Perjanjian antara kerajaan Sarawak dengan AIAC bagi penubuhan cawangan AIAC Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Isnin.
Azalina berkata, Sarawak mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai pusat penyelesaian pertikaian antarabangsa seiring dengan pertumbuhan ekonomi negeri serta peningkatan aktiviti perniagaan dan pelaburan rentas sempadan.
Menurutnya, penubuhan cawangan AIAC itu bukan sahaja memudahkan akses kepada perkhidmatan perundangan antarabangsa, malah membuka peluang kepada pengamal undang-undang di Sarawak dan Sabah untuk memperluas kepakaran dalam bidang timbang tara.
Dalam pada itu, beliau berkata, operasi AIAC Sarawak dijangka bermula pada 2027 selepas kerja menaik taraf bangunan Muzium Tekstil Sarawak yang dikenal pasti sebagai lokasi pejabat pusat berkenaan diselesaikan.
Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM10 juta bagi kerja menaik taraf bangunan tersebut untuk memenuhi keperluan operasi AIAC Sarawak.
Azalina berkata, penubuhan cawangan itu juga membolehkan pengamal undang-undang tempatan memperluas jaringan profesional dengan firma guaman dan pakar perundangan antarabangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kerajaan Sarawak atas sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Majlis pertukaran perjanjian itu disaksikan Abang Johari dengan kerajaan Sarawak diwakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, manakala AIAC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Danesh Chandran.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak





