
SIBU – Sekolah Menengah Islam Antarabangsa Sarawak dijadualkan memulakan pengambilan pertama seramai 60 pelajar pada Januari 2027, sekali gus membuka peluang kepada anak tempatan mengikuti pendidikan Islam bersepadu bertaraf antarabangsa.
Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak (MIS), Sahibus Siyadah Datuk Mual Suaud berkata, pengambilan awal itu akan melibatkan pelajar daripada Ma’had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub (MATTARY), Kuching.
Menurutnya, peluang kemasukan kemudiannya akan diperluas kepada calon lain yang memenuhi kriteria ditetapkan, dengan proses pemilihan dilaksanakan secara kompetitif berdasarkan pencapaian akademik dan kebolehan menghafaz al-Quran.
Beliau berkata, penguasaan hafazan sebanyak tujuh juzuk merupakan antara kriteria yang diberikan perhatian dalam pemilihan pelajar.
“Sekolah berkapasiti kira-kira 500 pelajar itu akan menggabungkan Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Tahfiz dan Hafazan, IGCSE Cambridge serta silibus bersama Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Singapura, selain membuka peluang kepada pelajar antarabangsa melalui program pertukaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ziarah Mahabbah Zon Tengah II anjuran MIS di Kompleks Islam Sarawak Sibu, pada Ahad.
Mual berkata, bangunan sekolah berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027, manakala pelajar yang memulakan pengajian lebih awal akan ditempatkan sementara di Sekolah Rendah Agama Datuk Haji Mohamad Mortadza Haji Daud.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan sesi pengajian dimulakan mengikut perancangan sementara menunggu kemudahan bangunan sekolah baharu disiapkan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa laluan persediaan ke sekolah berkenaan turut boleh melibatkan pendidikan agama di sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berkaitan tahfiz.
Peluang berkenaan turut membolehkan anak tempatan dari kawasan yang tidak mempunyai sekolah rendah agama membuat persediaan bagi memenuhi syarat kemasukan.
Sementara itu, Program Ziarah Mahabbah Zon Tengah II yang berlangsung pada 17 dan 18 Oktober turut merangkumi Pameran Edu Fair dengan penyertaan 30 agensi kerajaan dan badan berkanun.
Antara pengisian lain ialah Program Khas Wanita, kursus kemahiran Akademi Latihan Insan, aktiviti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sukaneka, penyerahan bantuan serta sesi Townhall Pendidikan.
Program seumpamanya dijadualkan diteruskan di Lawas pada November sebelum diperluas ke Sarikei, Betong dan beberapa lokasi lain di Sarawak.





