
DEBAK – Kesihatan emosi dan mental kanak-kanak perlu diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang selamat, dihargai dan mendapat sokongan daripada orang sekeliling.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohamad Razi Sitam berkata, kanak-kanak bukan sahaja memerlukan perhatian dari segi pendidikan dan kesihatan fizikal, malah kesejahteraan emosi serta mental mereka juga perlu diutamakan.
Menurutnya, kanak-kanak berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian, termasuk tekanan pembelajaran, masalah hubungan dengan rakan sebaya, pengalaman dibuli, konflik keluarga dan perubahan persekitaran.
“Sekiranya cabaran ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, ia berpotensi menjejaskan perkembangan dan kesejahteraan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Fahami Emosi, Bina Generasi Bahagian Betong di Dewan Perpaduan Debak, di sini, pada Ahad.

Mohamad Razi berkata, perubahan tingkah laku kanak-kanak dan kesukaran emosi yang dialami mereka tidak seharusnya dipandang ringan atau dianggap perkara biasa.
Katanya, kanak-kanak perlu diberikan ruang untuk meluahkan perasaan, selain mendapat sokongan daripada orang dewasa serta persekitaran yang selamat untuk membesar dengan sihat dan sejahtera.
Beliau menegaskan, usaha memelihara kesihatan emosi kanak-kanak memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa, penjaga, pihak sekolah, masyarakat dan agensi berkaitan.
“Ibu bapa dan penjaga perlu memberikan perhatian serta sokongan, manakala pihak sekolah perlu mewujudkan persekitaran yang selamat.
“Masyarakat dan agensi berkaitan pula perlu bersama-sama memastikan kanak-kanak berasa selamat, dihargai dan didengari,” katanya.
Beliau berharap program berkenaan dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman peserta mengenai kepentingan memahami emosi kanak-kanak, selain menggalakkan pembentukan persekitaran yang menyokong perkembangan mereka.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai keperluan dan pengalaman berbeza, justeru perhatian serta sokongan bersesuaian penting bagi membantu mereka membina asas perkembangan positif untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Program berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong dengan kerjasama Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) Betong dan Pejabat Daerah Kecil Debak.
Mohamad Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas merasmikan program itu dengan harapan usaha berkenaan dapat meningkatkan komitmen semua pihak dalam memastikan kanak-kanak menerima perhatian, sokongan dan perlindungan sewajarnya.





