
MUKAH – Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes menetak bapa saudaranya menggunakan parang di Jeti Perahu Kampung Litong.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi pada 15 Oktober lalu selepas polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, mangsa berusia 51 tahun pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah selepas keluar menangkap ikan sebelum memaklumkan dirinya ditetak di kawasan tebingan sungai Kampung Litong.
“Mangsa mengalami kecederaan pada telinga kanan dan dirujuk ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut selepas mendapatkan rawatan awal di Hospital Mukah,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press (TMP) pada Jumaat.

Muhamad Rizal berkata, polis turut merampas sebilah parang berhulu hitam berukuran kira-kira 41 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian selepas mangsa menuduh suspek terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
“Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif dadah,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara berbahaya.
Mahkamah Majistret Mukah turut meluluskan permohonan reman selama empat hari terhadap suspek sehingga 20 Oktober 2026 bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.







