
KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan video Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengupacarakan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam yang tular semula di media sosial bukan kejadian baharu.
Jelas jabatan itu, video berkenaan merupakan sebahagian daripada pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023 dan perkara itu telah dijelaskan secara rasmi pada 25 Oktober tahun sama.
“Mengitar semula rakaman lama tanpa menjelaskan konteks sebenar, apatah lagi sehingga menimbulkan persepsi yang mengelirukan, merupakan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu, malam tadi.
JPN menjelaskan bahawa jabatan berkenaan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil pasangan bukan Islam berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].
Menurut JPN, penglibatan Menteri Dalam Negeri dalam upacara perkahwinan sivil tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian majlis rasmi jabatan pada 2023 dan perlu difahami berdasarkan fungsi serta tanggungjawab yang dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
Dalam masa sama, JPN turut berkongsi pandangan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) berhubung aspek hukum syarak yang berkaitan sebagai rujukan kepada masyarakat.
“Perbezaan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan maklumat di luar konteks sehingga mencetuskan polemik yang tidak berasas,” menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, JPN menggesa orang ramai, khususnya pengguna media sosial, supaya lebih bertanggungjawab dengan menyemak kesahihan, tarikh dan konteks sesuatu rakaman sebelum berkongsi kandungan berkenaan.
“JPN akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya secara profesional, berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa serta kepentingan rakyat,” menurut kenyataan itu.


