
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan struktur gerai tanpa kelulusan dan memindahkan halangan perniagaan pakaian terpakai atau bundle yang menggunakan laluan pejalan kaki serta jalan awam di Jalan Raja Bot, Chow Kit, baru-baru ini.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas tamat tempoh notis pengosongan tapak yang diberikan kepada pemilik perniagaan terbabit.
“Tindakan penguatkuasaan itu membabitkan lapan aktiviti perniagaan pakaian terpakai yang dikenakan tindakan sitaan dan pemindahan halangan, termasuk merobohkan struktur gerai yang dibina tanpa kelulusan.
“Tindakan berkenaan diambil susulan kesalahan di bawah Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Antara barangan dan peralatan perniagaan yang dipindahkan ialah khemah, gerobok besi, seluar, baju, topi serta barangan lain yang digunakan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di lokasi berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut DBKL, semua barangan yang disita dibawa ke Stor Sitaan DBKL untuk tujuan penyimpanan dan dokumentasi lanjut.
DBKL menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemilik perniagaan mematuhi peraturan serta syarat lesen yang ditetapkan.
“Pemilik perniagaan diingatkan supaya mematuhi syarat-syarat lesen yang diberikan, termasuk tidak membuat sebarang halangan di laluan, atas jalan, petak letak kereta dan tempat awam,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklum balas berkaitan perkara berkenaan boleh menyalurkannya kepada DBKL menerusi pautan aduan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan itu.



