
KUCHING – Kerjasama pengamal media dalam menyampaikan maklumat percukaian kepada masyarakat memainkan peranan penting bagi meningkatkan kefahaman dan pematuhan cukai secara sukarela di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, penerangan yang disampaikan media membantu pembayar cukai memahami tanggungjawab mereka, selain menyokong usaha meningkatkan kutipan hasil negara.
Menurutnya, sumbangan media turut membantu HASiL mencatat pencapaian kutipan cukai yang memberangsangkan apabila jumlah kutipan buat pertama kalinya melepasi RM200 bilion pada 2025.
“Saya percaya hubungan baik antara HASiL dengan media sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi HASiL Bersama Media Negeri Sarawak 2026 di Hotel Pullman Kuching, pada malam Jumaat.
Abu Tariq berkata, sumbangan media turut membantu HASiL mencatat pencapaian memberangsangkan apabila kutipan cukai langsung negara buat pertama kalinya melepasi paras RM200 bilion pada 2025.
Berdasarkan rekod yang diumumkan sebelum ini, HASiL mencatat kutipan sebanyak RM203.991 bilion, meningkat 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, kejayaan berkenaan turut mencerminkan peranan pengamal media dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pematuhan cukai.
“Kejayaan itu boleh dikongsi bersama pengamal media,” katanya.
Dalam pada itu, Abu Tariq berkata, liputan media terhadap pelbagai inisiatif percukaian turut membantu masyarakat memahami pelaksanaan dasar kerajaan, termasuk sistem e-Invois serta sistem taksir sendiri bagi duti setem dan cukai keuntungan harta tanah.
Beliau turut menghargai peranan media dalam memberikan liputan terhadap operasi pematuhan HASiL di Sarawak, khususnya bagi meningkatkan kesedaran pembayar cukai terhadap tanggungjawab mereka di bawah peruntukan percukaian.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama berterusan dengan pengamal media dapat membantu memperluas penyampaian maklumat mengenai program HASiL, termasuk Bulan HASiL yang berlangsung sepanjang Oktober.
Antara program lain yang diketengahkan ialah Seminar Percukaian Kebangsaan berkaitan Belanjawan 2027 yang dianjurkan secara dalam talian menerusi dua siri, masing-masing pada 14 dan 21 Oktober.
Setakat 15 Oktober, lebih 5,600 peserta telah mendaftar untuk menyertai seminar berkenaan.
Abu Tariq turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media Sarawak atas sokongan dan kerjasama dalam membuat liputan terhadap pelbagai program serta aktiviti HASiL.
Beliau berharap hubungan baik itu dapat diteruskan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan cukai, sekali gus menyokong usaha kutipan hasil untuk pembangunan negara.



