
MUKAH – Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan wanita berusia 18 tahun di sebuah kediaman di Jalan Petanak.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek ditahan pada 15 Oktober lalu selepas polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada hari yang sama.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 14 Oktober kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa pergi ke kediaman suspek yang dikenalinya selepas menerima pelawaan untuk berjumpa.
Mangsa mendakwa berlaku perbuatan seksual tanpa persetujuannya sebelum dirujuk ke Hospital Mukah untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Mahkamah Majistret Mukah meluluskan permohonan reman selama enam hari sehingga 22 Oktober bagi membolehkan siasatan dilengkapkan,” katanya.

Muhamad Rizal berkata, polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, mengumpul bahan bukti dan merakam percakapan saksi bagi membantu siasatan.
Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat peribadi mangsa bagi melindungi privasi serta kebajikannya.



