
USAHA menaik taraf kemudahan kesihatan luar bandar menerusi pembinaan semula Klinik Desa Permatang Sintok, Pulau Pinang, mendapat pujian netizen yang menyifatkannya sebagai inisiatif kecil tetapi memberi manfaat besar kepada rakyat.
Klinik yang mula beroperasi sebagai klinik bidan pada Januari 1962 itu akhirnya mempunyai bangunan baharu selepas lebih enam dekad berkhidmat kepada penduduk setempat.
Pembinaan semula klinik berkenaan dilaksanakan menerusi Projek Klinik Daif Tahun 2023, siap pada Disember tahun sama dan mula dibuka kepada orang awam pada 22 Januari 2024.
Perkongsian mengenai kemudahan baharu klinik itu di media sosial mengundang reaksi positif orang ramai, termasuk yang memuji usaha kerajaan menyediakan kemudahan kesihatan lebih selesa untuk penduduk luar bandar.
“Saya pun macam ni. Asal klinik macam rumah kayu jalan berbunyi keriuk-keriuk, jamban cangkung padahal klinik ibu anak. Sejak Dr Zaliha pegang KKM dah berubah jadi bangunan batu lebih kukuh,, parking diluaskan. Alhamdulillah,” kata Nursuria di laman Threads pada Jumaat.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Razalious menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai antara usaha yang wajar dihargai kerana memberi perhatian kepada keperluan asas rakyat.
“Terbaik MADANI, tak perlu projek besar yang kononnya berwawasan, cukup sekadar inisiatif kecil yang manusiawi untuk menghargai jasa dan pengorbanan kakitangan kerajaan di pedalaman,” katanya.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), klinik berkenaan menyediakan perkhidmatan kesihatan ibu dan anak dengan purata kedatangan kira-kira 40 pesakit sehari.
Bangunan baharu itu dilengkapi dua bilik rawatan, bilik suntikan, makmal, bilik penyusuan, ruang menunggu serta kawasan parkir lebih luas dan selesa.
Reka bentuknya turut mengambil kira keperluan golongan orang kurang upaya (OKU), sekali gus meningkatkan kemudahan akses kepada semua lapisan masyarakat.
Pembinaan semula Klinik Desa Permatang Sintok bukan sahaja memperbaharui infrastruktur kesihatan yang telah digunakan sejak sekian lama, malah menyediakan persekitaran lebih selesa untuk penduduk mendapatkan rawatan dan petugas kesihatan menjalankan tugas.

