
KUCHING – Sarawak dicadangkan untuk menyediakan saluran permohonan dan rayuan secara terus bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) khusus kepada rakyat yang tidak tersenarai sebagai penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, status kelulusan STR tidak seharusnya menjadi satu-satunya asas mutlak dalam menentukan kelayakan seseorang untuk menerima SKAS, terutamanya jika keadaan kewangan semasa mereka masih memerlukan bantuan.
Menurutnya, perubahan drastik keadaan ekonomi isi rumah, maklumat yang belum dikemas kini, atau beberapa faktor luaran lain boleh menyebabkan individu yang benar-benar memerlukan bantuan tercicir daripada pangkalan data sedia ada.
“Individu yang tidak lagi tersenarai dalam pangkalan data (STR) tidak semestinya bermakna masalah kewangan mereka telah selesai.
“Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme permohonan dan rayuan secara terus bagi SKAS supaya rakyat Sarawak yang tidak tersenarai dapat memohon, dengan mengambil kira pendapatan isi rumah dan keadaan kewangan sebenar mereka pada waktu ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Rabu.
Adam menjelaskan, cadangan tersebut bukanlah bertujuan untuk melonggarkan syarat kelayakan bantuan, sebaliknya ia sekadar satu langkah proaktif bagi menyediakan saluran alternatif kepada golongan rentan yang mungkin tercicir daripada sistem pangkalan data persekutuan.
Pada perbahasan yang sama, beliau turut menyambut baik kesinambungan inisiatif SKAS di bawah Belanjawan Sarawak 2027 yang akan terus menyediakan bantuan RM1,100 kepada isi rumah yang layak, RM600 kepada warga emas, dan RM375 kepada individu bujang.
Sebagai rekod, bagi pelaksanaan SKAS 2026, prosedur operasi standard (SOP) menetapkan bahawa penerima ditentukan sepenuhnya berdasarkan data STR 2026, dan tiada permohonan atau rayuan baharu akan dibuka sekiranya nama seseorang tidak tersenarai.
Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana besar berjumlah RM650 juta bagi pelaksanaan SKAS pada tahun 2027 untuk meneruskan kelangsungan bantuan bersasar kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh negeri.
Tambah Adam, meskipun bantuan berkenaan terbukti dapat meringankan sebahagian besar tekanan kos sara hidup, satu mekanisme yang lebih fleksibel amat diperlukan bagi memastikan jaringan keselamatan sosial ini tidak meminggirkan sesiapa pun yang layak.



