
KUCHING – Sebuah stesen minyak baharu bakal dibangunkan di Julau selepas permohonan penggunaan sebahagian Lot 480, Blok 3, Daerah Tanah Jikang (Jikang Land District) bagi tujuan tersebut diluluskan oleh kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, kelulusan berkenaan melibatkan tempoh pegangan tanah secara pajakan selama 60 tahun bermula daripada tarikh pendaftaran surat hak milik.
Menurut beliau, antara syarat ketat yang ditetapkan ialah tanah berkenaan hanya boleh digunakan khusus bagi tujuan pembangunan stesen minyak semata-mata.
“Selain itu, pembinaan stesen minyak berkenaan hendaklah disiapkan sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan dari tarikh surat hak milik didaftarkan, mengikut pelan dan spesifikasi yang telah diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.
Mengulas lanjut, Len Talif menegaskan bahawa sebarang tindakan pindah milik atau pajakan kecil ke atas tanah berkenaan adalah tidak dibenarkan sama sekali, melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Sebagai rekod, pembangunan stesen minyak itu bakal merungkai masalah kesukaran pengisian bahan api di Julau, yang sebelum ini berdepan isu ketiadaan kemudahan berkenaan secara keseluruhan.
Isu ketiadaan stesen minyak di Pekan Julau itu malah pernah menjadi antara keluhan utama yang dibangkitkan oleh penduduk setempat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2021.
Julau kini menjadi antara kawasan tumpuan yang rancak menerima limpahan projek pembangunan dan infrastruktur kerajaan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuklah projek naik taraf jalan raya dan kemudahan utiliti awam.






